Kes Bunuh Irene Sofiya: “Saya Peluk Fiya Sambil Ajar Ucap Kalimah Syahadah” – Nenek [Video]

4 Oct 2026 • 12:46 PM MYT
BuzzKini
BuzzKini

Laman Berita Social Malaysia

Kes Bunuh Irene Sofiya: “Saya Peluk Fiya Sambil Ajar Ucap Kalimah Syahadah” – Nenek [Video]

Ikuti saluran TikTok, WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.

Sejak tengah malam tadi, kecoh di media sosial mengenai seorang pelajar tingkatan empat, Irene Sofiya Mohd Khairol Faisal yang ditemui maut dipercayai dibunuh di sebuah sekolah menengah di Yong Peng, Johor.

Rakan Datang Ke Rumah Cari Irene Sofiya, Jumpa Di Dewan Sekolah Dalam Keadaan Lemah

Mangsa yang berusia 16 tahun ditemui dalam keadaan terbaring lemah oleh nenek, Jameyah Rabani serta rakan kira-kira jam 5.30 petang semalam (3 Oktober) selepas menyedari mangsa tiada di rumah sebelum pergi ke sekolah mencari remaja berkenaan.

“Rakan jumpa Fiya dalam dewan sekolah, keadaannya sangat lemah. Waktu itu Fiya sempat pandang muka saya seketika dan angkat tangan sebelum terkulai,” katanya yang dipetik dari Harian Metro.

Irene Sofiya atau juga dikenali dengan panggilan Fiya ditemui dalam keadaan menyedihkan dengan kecederaan parah pada bahagian badan dipercayai dibunuh menggunakan objek keras.

Kongsi Jamilah, pada mulanya, rakan cucunya itu telah datang ke rumah untuk bertanyakan sama ada Fiya sudah pulang atau belum.

“Ini berikutan mereka menemui motosikal milik Fiya di dalam kawasan sekolah.

“Pada hari kejadian semalam (Sabtu, 3 Oktober), Fiya menghadiri kelas tambahan bermula pada jam 2 petang dan berakhir sekitar jam 5 petang.

“Rakannya datang bertanya sama ada Fiya dah pulang atau belum? Saya jawab belum lagi.

“Hati saya mula gelisah lalu mengajak anak saya (Siti Nur Faeza Khyar, 45) serta rakan Fiya mencarinya di kawasan sekolah.

“Puas kami mencari namun tidak menjumpainya sehinggalah rakan Fiya menjerit ke arah saya memberitahu terjumpa Fiya dalam keadaan berdarah,” katanya.

Rakan Menjerit Sebaik Jumpa Mangsa, Minta Nenek Segera Masuk Ke Dalam Dewan

Tambah Jamilah, rakan cucunya itu menjerit dan meminta dia segera masuk ke dalam dewan berikutan terdapat darah yang banyak pada cucunya itu.

“Saya berlari dan melihat keadaannya yang amat menyayat hati. Fiya ketika itu sudah tidak boleh bercakap, tapi dia sempat menunjukkan tindak balas dengan mengangkat tangan dan menoleh muka ke arah saya.

“Saya peluk Fiya sambil mengajarnya mengucap kalimah syahadah,” jelasnya.

Nenek Reda Dengan Pemergian Irene Sofiya

Kongsi Jamilah, hatinya juga pada ketika itu terdetik cucunya sudah tiada ekoran Irene Sofiya tidak menunjukkan sebarang tindak balas meskipun namanya telah dipanggil beberapa kali.

Tambahnya lagi, dia ada mempelawa cucunya itu untuk menghadiri kenduri kahwin.

Namun, mangsa menolak ajakannya kerana mahu menghadiri kelas tambahan secara dalam talian pada jam 11 pagi dan di sekolah pada jam 2 petang.

“Saya reda tetapi amat sedih. Kami kehilangannya. Saya dan suami menjaganya ketika usia sembilan tahun selepas ibu meninggal dunia akibat kanser,” ujarnya.

Datuk Tak Sangka Perbualan Bersama Cucu Ketika Sarapan Jadi Perbualan Terakhir

Dalam pada itu, datuk Irene Sofiya, Khyar Abas menjelaskan, dia tidak menyangka perbualan bersama cucunya ketika sarapan akan menjadi perbualan terakhir mereka.

Ini kerana dia bersama ibu saudara Fiya yang datang dari Kluang menunggu mangsa untuk keluar makan bersama namun cucunya itu tidak pulang dari sekolah.

“Kami memang tinggal bertiga bersama Fiya. Dia seorang yang tidak pernah menyusahkan hati serta rajin belajar,” jelasnya.

Video temubual tersebut turut dikongsikan Sinar Harian di media sosial.

View this post on Instagram

A post shared by Sinar Harian (@sinarharian)

Irene Sofiya Tiada Dalam Kelas, Rakan Sangka Tak Hadir Kerana Tak Sihat

Dalam pada itu, rakan sekelas mangsa yang enggan namanya didedahkan menjelaskan Irene Sofiya tiada dalam kelas ketika kelas tambahan berlangsung.

 “Semasa kelas tambahan berlangsung (semalam), dia tiada dalam kelas. Kami sangkakan dia tidak hadir kerana tidak sihat,” katanya.

Kongsinya, seorang guru ada bertanyakan tentang Irene Sofiya namun mereka sendiri tidak tahu punca ketidakhadiran mangsa.

“Saya pun baru mendapat tahu Irene Sofiya tidak pulang ke rumah. Jadi saya tidak fikir perkara yang bukan-bukan akan berlaku terhadapnya.

“Sebelum itu, ada pelajar perempuan syak sesuatu tapi mereka tidak beritahu dengan lanjut,” jelasnya.

Walau bagaimanapun jelasnya, seorang guru ada menghubungi setiap pelajar selepas maghrib dan bertanyakan mengenai waktu kelas tambahan bermula dan berakhir.

“Saya pelik dan bertanyakan hal itu kepada guru. Guru terbabit akhirnya memberitahu sesuatu ‘buruk’ berlaku di sekolah pada hari terbabit.

“Saya terkejut dan tidak menjangka kejadian ini boleh berlaku,” katanya yang dipetik dari Harian Metro.

Irene Sofiya Pelajar Terbaik, Potensi Raih Semua A Dalam SPM

Kongsi individu itu lagi, Irene Sofiya merupakan antara pelajar terbaik sekolah dan dilihat berpotensi untuk mendapat keputusan seluruh A dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada tahun hadapan.

“Dia (Irene Sofiya) fokus dalam pembelajaran dan aktif dalam aktiviti sekolah. Kerana itulah kami seperti tidak percaya apa yang berlaku terhadapnya.

“Kami masih terbayang wajahnya dan tidak sangka akan kehilangannya,” katanya.

Mangsa Tinggal Nenek Setelah Ibu Meninggal Dunia Akibat Kanser

Irene Sofiya sebelum ini ditemui maut oleh nenek dan rakannya yang datang ke sekolah selepas menyedari mangsa tidak pulang ke rumah meskipun waktu kelas tambahan telahpun berakhir.

Mangsa tinggal bersama nenek selepas ibunya meninggal dunia akibat kanser manakala bapa bekerja di Kuala Lumpur.

Terdapat kesan darah kering pada badang serta lebam seolah-olah dipukul ketika ditemui malah pasu pecah turut ditemui berhampiran mangsa.

3 Pelajar Lelaki Ditahan Disyaki Ada Kaitan Dengan Kes Irene Sofiya

Dalam pada itu, tiga pelajar lelaki berusia 16 tahun dari sekolah sama ditahan kerana disyaki mempunyai kaitan dengan kes Irene Sofiya.

Kesemua pelajar tersebut ditahan beberapa jam selepas penemuan mayat mangsa.

Salah seorang daripada mereka yang merupakan rakan sekelas mangsa telahpun direman pagi ini selama enam hari sehingga Jumaat (9 Oktober) bagi membolehkan polis melengkapkan siasatan lanjutan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Memetik Harian Metro, tempoh reman ini juga diperlukan bagi membolehkan pihak berkuasa merekodkan keterangan daripada suspek.

Baca Artikel Berkaitan: [Kemaskini] Kes Pelajar Wanita Maut Ditikam 61 Kali: Apa Yang Kita Tahu Setakat Ini

Baca Artikel Berkaitan: Penuntut Wanita IPTS Ditemui Maut Di Kondominium Bandar Sunway Dipercayai Dibunuh

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved