
PELAJAR berusia 16 tahun Irene Sofiya Mohd Khairool Faisal, 16, ditemui dalam keadaan berlumuran darah selepas dipercayai dibunuh di sebuah sekolah menengah di Yong Peng, Batu Pahat.
Remaja itu ditemui dalam keadaan lemah dan berlumuran darah di dalam dewan di sekolah oleh neneknya, Jameyah Rabani, 66.
Sempat berkongsi dengan Sinar Harian kejadian yang berlaku pada Sabtu itu, Jameyah memberitahu dua rakan cucunya itu datang ke rumah untuk bertanyakan keberadaan Irene Sofiya atau lebih mesra dipanggil Fiya pada kira-kira jam 5.30 petang.
Menurutnya, kedua-dua rakan berkenaan hairan apabila motosikal milik Fiya masih berada di sekolah, sedangkan mereka tidak menemuinya.
Dia kemudian mengajak anak sulungnya Siti Nur Faeza, 45, yang baru sampai dari Kluang, ke sekolah yang terletak tiga kilometer dari rumah untuk mencari cucunya bersama dua rakan berkenaan.
"Kami pusing mencari di sekitar kawasan sekolah dan rakan-rakannya turut membantu sebelum salah seorang daripada mereka menemui Fiya di dalam dewan sekolah.
"Saya kemudian terdengar rakannya menjerit memanggil saya supaya segera datang kerana darah sudah banyak," katanya ketika ditemui di Kampung Parit Selamat, Yong Peng pada malam Sabtu.
Jameyah memberitahu, sebaik tiba di lokasi, dia melihat cucunya masih memberikan reaksi apabila namanya dipanggil, namun berada dalam keadaan lemah dan berlumuran darah.
"Saya pegang dia, panggil nama Fiya dan ajar dia mengucap. Keadaannya ketika itu penuh dengan darah.
"Dia sempat pandang muka nenek sebelum terkulai dan tidak bergerak lagi," katanya.
Tinggal bersama sejak ibu meninggal dunia
Mendedahkan tinggal bersamanya sejak tujuh tahun lalu selepas ibu remaja itu meninggal dunia akibat kanser hati, Jameyah reda dengan pemergian Fiya namun sedih cucunya diperlakukan kejam.
Datuk mangsa, Khyar Abas, 69, berkata, pula mengimbas kembali perbualan ketika bersarapan pada pagi sebelum kejadian dan tidak menyangka perbualan bersama cucunya itu menjadi yang terakhir.
Sempat bertanya sama ada, mahu mengikut neneknya menghadiri kenduri perkahwinan di kampung, Fiya memaklumkan mempunyai kelas dalam talian pada jam 11 pagi dan kelas tambahan di sekolah pada jam 2 petang.
Ingin jadi doktor macam ibu
Sementara itu, anak sulung Jameyah yang juga ibu saudara Fiya, Siti Nur Faeza Khyar, berkata remaja itu mengejar cita-cita untuk menjadi seorang doktor perubatan seperti arwah ibunya.
“Fiya pernah cakap dengan mak long, antara doktor, doktor mana yang Fiya nak jadi. Saya jawab pakar sakit puan, Fiya juga nak jadi seperti arwah ibunya sebagai doktor kesihatan awam.
"Dia memang ada cita-cita besar dan sangat suka belajar,” katanya
Menurut Faeza yang juga seorang guru, Fiya seorang yang pendiam dan rajin mengulang kaji pelajaran serta meraih kedudukan di tempat pertama atau kedua dalam tingkatan. Malah remaja itu juga diletakkan dalam kelompok pelajar yang berpotensi memperoleh keputusan 9A di sekolah berkenaan.
Dalam pada itu, Siti Nur Faeza berkata, Fiya merupakan anak tunggal dan kehilangan ibunya ketika berusia lapan tahun akibat kanser hati.
Menurutnya, bapa Fiya bekerja sebagai jurutera di Bangi.
Sumber: Sinar Harian


![Kes Bunuh Irene Sofiya: “Saya Peluk Fiya Sambil Ajar Ucap Kalimah Syahadah” – Nenek [Video]](https://buzzkini.my/wp-content/uploads/2026/10/Pelajar-maut-disyaki-dibunuh.jpg?t=1791089312)



