Nenek Tiri Didakwa Bunuh Bayi 16 Bulan

12 Aug 2026 • 2:42 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

Nenek Tiri Didakwa Bunuh Bayi 16 Bulan

KOTA TINGGI - Seorang suri rumah didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membunuh seorang bayi perempuan berusia 16 bulan pada penghujung bulan lalu.

Tertuduh, Nurul Farhana Laili Shah, 39, mengangguk tanda faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Hafizah Abdul Rajak.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh berikutan pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan itu berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa membunuh Nur Anggun Dahlia Abdullah, 16 bulan, antara jam 12.30 tengah hari 30 Julai hingga 9.30 pagi 31 Julai lalu di Taman Sri Saujana, Kota Tinggi.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara sehingga 40 tahun jika sabit kesalahan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nor Afiqah Musa, manakala tertuduh diwakili peguam Lydiana Mansor.

Mahkamah menetapkan 11 Disember sebagai tarikh sebutan semula kes sementara menunggu laporan kimia dan bedah siasat.

Sebelum ini, media melaporkan, kematian bayi berusia satu tahun empat bulan itu dipercayai mempunyai kaitan dengan penderaan dan pembunuhan oleh nenek tirinya, yang menjaganya sejak dilahirkan.

Ibu mangsa yang berusia 18 tahun dipercayai meninggalkan anaknya dalam jagaan wanita berkenaan kerana masih mengikuti pengajian di sebuah kolej vokasional di negeri ini.

Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad, sebelum ini berkata, pihaknya menerima laporan daripada nenek tiri mangsa yang berusia 39 tahun pada jam 9.30 pagi, 31 Julai.

Wanita itu dilaporkan memaklumkan bahawa bayi berkenaan tidak sedarkan diri ketika cuba dikejutkan.

Bagaimanapun, hasil bedah siasat mendapati mangsa mengalami kecederaan akibat hentakan objek tumpul pada bahagian dada dan abdomen, selain terdapat kesan lebam pada tubuh bayi berkenaan.

Susulan laporan, polis menahan tiga individu termasuk ibu mangsa, nenek tiri dan datuknya untuk membantu siasatan.

Bagaimanapun, dua daripada mereka kemudiannya dibebaskan dan akan dipanggil sebagai saksi pendakwaan. - Getaran, 12 Ogos 2026

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved