Suri rumah di Kota Setar turut terjebak penipuan wang kutu

LocalBusiness & Finance
12 Aug 2026 • 5:09 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Suri rumah di Kota Setar turut terjebak penipuan wang kutu

ALOR SETAR – Polis Kota Setar menerima satu laporan berhubung kes penipuan wang kutu membabitkan mangsa seorang suri rumah berusia 35 tahun yang didakwa mengalami kerugian RM94,800.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Syed Basri Syed Ali berkata, mangsa mendakwa membuat sebanyak 22 transaksi pindahan wang ke akaun bank individu antara 3 hingga 31 Julai lalu.

Katanya, jumlah keseluruhan wang yang dipindahkan mangsa adalah sebanyak RM126,800 dan telah menerima wang pulangan berjumlah RM32,000.

“Susulan laporan itu, polis menahan seorang lelaki dan seorang wanita pada semalam sebelum kedua-dua suspek dibawa ke mahkamah dan permohonan reman selama dua hari dibenarkan oleh majistret,” katanya di sini, hari ini.

Beliau berkata, kes disiasat sebagai penipuan wang kutu dan siasatan lanjut masih dijalankan.

Terdahulu, seorang wanita yang sebelum ini ditahan bagi kes hutang kutu RM1.7 juta mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini atas pertuduhan menganjurkan kumpulan wang kutu terdiri daripada 52 peserta dari Julai tahun lalu hingga bulan lepas.

Tertuduh, Siti Zulaika Ahmad Sabri, 36, yang merupakan peniaga makanan membuat pengakuan itu sebaik pertuduhan tersebut dibacakan di hadapan Hakim Sharmila Abdul Samad.

Bagaimanapun mahkamah menetapkan 22 September depan untuk menjatuhkan hukuman ke atas tertuduh.

Mengikut pertuduhan, dia yang beralamat di Kampung Padang Satu, Bukit Kayu Hitam dekat sini dituduh menganjurkan kumpulan wang kutu dengan setiap peserta dikehendaki membayar wang tunai kepada kumpulan tersebut.

Sementara itu, suaminya yang berusia 39 tahun direman selama dua hari bermula hari ini dengan perintah tersebut dikeluarkan Majistret Siti Nor Hasliza Md Ali bagi membantu siasatan bagi kes di daerah Kota Setar.

Kosmo! pada 4 Ogos lalu melaporkan tiga beranak dari Bukit Kayu Hitam dekat sini dilaporkan hilang sejak 20 Julai lalu sebelum polis tidak menolak kemungkinan kehilangan itu mempunyai kaitan dengan hutang permainan kutu.

Pasangan suami isteri berusia 39 dan 36 tahun itu kemudian tampil menyerahkan diri di Ibu Pejabat Polis Daerah Kubang Pasu, Jitra pada 6 Ogos lepas sebelum direman.

Sebanyak 35 laporan polis dibuat mangsa berusia antara 23 hingga 53 tahun terhadap wanita terbabit berhubung dakwaan penipuan wang permainan kutu membabitkan kerugian keseluruhan RM1.7 juta. – KOSMO! ONLINE

The post Suri rumah di Kota Setar turut terjebak penipuan wang kutu appeared first on Kosmo Digital.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved