Peniaga mengaku salah dera anak tiri guna ‘hanger’

LocalFamily & Parenting
12 Aug 2026 • 4:21 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Peniaga mengaku salah dera anak tiri guna ‘hanger’

MELAKA – Seorang peniaga berdepan hukuman penjara 20 tahun selepas mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan menganiaya anak tiri lelakinya berusia 10 tahun 11 bulan menggunakan penyangkut baju plastik sehingga mangsa mengalami kecederaan fizikal dan emosi, minggu lalu.

Tertuduh, Syed Khairul Anwar Syed Jaafar, 40, membuat pengakuan itu sejurus pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah dihadapan Hakim, Rohatul Akmar Abdullah.

Hukuman terhadap tertuduh bagaimanapun ditangguhkan pada Jumaat ini bagi menunggu fakta kes.

Mengikut pertuduhan, tertuduh sebagai bapa tiri kepada kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun 11 bulan sewaktu kejadian didapati telah menganiaya iaitu dengan menyebabkan kanak-kanak itu mengalami kecederaan fizikal dan emosi.

Perbuatan itu dilakukan kira-kira pukul 11 pagi hingga 12 tengah hari di sebuah rumah beralamat di Taman Tanjung Minyak Perdana dalam daerah Melaka Tengah pada 4 Ogos 2026.

Sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001.

Difahamkan sebelum kejadian, mangsa telah dikejutkan dari tidur oleh tertuduh dan disuruh untuk membuat latihan sekolah.

Tertuduh bagaimanapun tiba-tiba melibas bahagian belakang badan mangsa sebanyak lima kali sehingga mengakibatkan kesan lebam di bahagian punggung.

Ibu mangsa turut didakwa kerap menghubungi adiknya yang merupakan pengadu kes bagi menceritakan tindakan tertuduh sering memukul anaknya kerana hal kecil, namun takut membuat laporan polis kerana mendakwa suaminya itu seorang yang panas baran.

Terdahulu, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu agar dibenarkan untuk diikat jamin dengan alasan dia hanya bekerja sebagai peniaga makanan dan perlu menanggung tiga anak kandung dan dua anak tiri, selain menyesali perbuatannya.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Qaiyyum Ramlan.

Selepas mendengar rayuan tertuduh, mahkamah membenarkan dia diikat jamin sebanyak RM9,000 dan menetapkan tarikh 14 Ogos ini untuk serahan fakta kes dan hukuman. – KOSMO! ONLINE

The post Peniaga mengaku salah dera anak tiri guna ‘hanger’ appeared first on Kosmo Digital.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved