Nepal berkabung kematian Nirmal Purja

2 Aug 2026 • 4:56 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Nepal berkabung kematian Nirmal Purja

KATHMANDU: Nepal berkabung atas pemergian pendaki gunung terkenal, Nirmal Purja, dengan Perdana Menteri, Balendra Shah mengetuai penghormatan kepada tokoh yang mencipta pelbagai rekod dalam dunia pendakian itu.

Pendaki kelahiran Nepal yang juga warganegara Britain berusia 43 tahun itu maut bersama sembilan lagi pendaki selepas terperangkap dalam runtuhan salji di Broad Peak, Pakistan, menurut syarikat ekspedisinya.

Kematian Purja dilihat sebagai satu kehilangan besar kepada dunia pendakian.

“Tiada kata-kata yang mampu menghilangkan kesedihan akibat kehilangan yang sukar dibayangkan ini,” kata Elite Expeditions dalam satu kenyataan.

Purja, yang pernah berkhidmat dalam Briged Gurkha Britain sebelum menyertai Skuadron Bot Khas Kor Marin Diraja Britain, memecahkan pelbagai rekod pendakian selepas menjadi pendaki gunung dan pemandu ekspedisi sepenuh masa.

Pada 2019, beliau menggemparkan komuniti pendakian apabila berjaya menawan kesemua 14 puncak tertinggi dunia dalam tempoh hanya lebih enam bulan, sekali gus memecahkan rekod terdahulu iaitu tujuh tahun.

Shah menyifatkan kematian Purja dan pendaki lain sebagai satu tragedi yang mengejutkan negara itu.

“Perjalanan fizikal semua pendaki yang terkorban telah terhenti, namun sejarah keberanian, dedikasi dan sumbangan mereka akan terus menjadi inspirasi,” kata Shah menerusi kenyataan di media sosial.

Di Kathmandu, sebuah papan iklan besar di dataran utama bandar memaparkan gambar Purja lengkap dengan peralatan mendaki berserta mesej ‘Anda akan sentiasa dikenang’.

Runtuhan salji itu berlaku pada Khamis ketika kumpulan pendaki berkenaan sedang cuba menawan Broad Peak setinggi 8,047 meter pada altitud sekitar 6,600 meter, menurut pihak berkuasa Pakistan.

Ekspedisi itu disertai 10 individu terdiri daripada lima warga Nepal, seorang rakyat Pakistan, seorang warga Oman, seorang warga Amerika Syarikat (AS), seorang pendaki dari China dan seorang lagi warga asing.

Selain Purja, beberapa lagi nama besar dalam dunia pendakian yang turut terkorban dalam ekspedisi itu, termasuk Pur Bahadur Gurung yang lebih dikenali sebagai Yukta, Kili Pemba Sherpa, Nima Sherpa, Nawang Thendu Sherpa dan Gyaljen Sherpa.-AFP

The post Nepal berkabung kematian Nirmal Purja appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved