
KATHMANDU – Gelombang tanah runtuh dan hujan lebat baharu mengorbankan sekurang-kurangnya 30 orang di Nepal, ketika negara Banjaran Himalaya itu masih bergelut dengan kesan banjir dahsyat pada Ogos lalu yang meragut lebih 1,400 nyawa, manakala ribuan lagi dilaporkan hilang, lapor stesen penyiaran BBC.
Menurut Pihak Berkuasa Pengurusan Bencana Kebangsaan Nepal, lebih 1,900 keluarga terjejas sejak akhir minggu lalu dan sekurang-kurangnya 240 buah rumah musnah.
Bencana itu turut melumpuhkan infrastruktur utama selepas jalan raya, bangunan, dan jambatan hanyut dibawa arus deras.
Perkembangan itu turut memaksa beratus-ratus pendaki di Annapurna, kawasan mendaki yang menjadi nadi ekonomi Nepal, menamatkan perjalanan lebih awal kerana faktor keselamatan.
Ramai antara mereka terpaksa diangkut keluar menggunakan helikopter dari daerah Manang dan Mustang.
Sementara itu, suasana pilu menyelubungi beberapa wilayah di Nepal apabila penduduk mula meratapi pemergian ahli keluarga masing-masing.
Menceritakan detik cemas dari sebuah khemah perlindungan di Battar, utara Kathmandu, penduduk tempatan dikenali sebagai Buti Tamang memberitahu: “Kami pernah mempunyai tempat tinggal, tetapi kini sehelai sepinggang. Kami kehilangan ramai ahli keluarga.”
Dalam pada itu, beberapa pendaki bersama pemandu arah menyifatkan laluan turun dari kawasan pergunungan sebagai amat berbahaya.
Perjalanan mengambil masa sehingga tiga ke empat hari berikutan mereka terpaksa meredah laluan runtuh serta jambatan yang rosak.
Seorang pendaki warga Britain Jake Stacy, 21, menceritakan pengalaman terperangkap bersama pemandu arah di Yak Kharka, bahagian atas Manang, berikutan salji tebal.
Situasi itu memaksa mereka membatalkan hasrat meneruskan perjalanan ke Genting Thorang La iaitu titik tertinggi di trek berkenaan.
“Kami terpaksa membuka laluan baharu di cerun gunung.
“Keadaannya amat curam dan kami terpaksa memanjat secara berhati-hati kerana terdapat sungai di bawah, manakala laluan juga berlumpur dan sangat licin,” katanya sejurus tiba di kem pangkalan Pokhara kelmarin. – AGENSI
The post Nepal ditimbus tanah runtuh lagi, 30 maut appeared first on Kosmo Online.






