Nepal kebumi 229 mangsa banjir Bhote Koshi yang belum dikenal pasti

29 Aug 2026 • 10:06 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Nepal kebumi 229 mangsa banjir Bhote Koshi yang belum dikenal pasti
Para pelajar di Amritsar menyalakan lilin bagi memperingati mangsa-mangsa korban banjir Nepal. Foto: Narinder NANU / AFP

KUALA LUMPUR - Pihak berkuasa di daerah Chitwan, Nepal mula mengebumikan 229 mayat yang belum dikenal pasti pada Sabtu berikutan risiko terhadap kesihatan awam akibat proses pereputan susulan banjir yang membawa kemusnahan di Rasuwa pada Rabu.

Jawatankuasa Keselamatan Daerah memaklumkan 233 mayat telah ditemukan setakat ini akibat bencana itu, dengan hanya empat daripadanya berjaya dikenal pasti.

Mayat dan tinggalan jasad manusia yang ditemukan di tebing sungai serta disimpan di beberapa kemudahan telah reput sehingga tidak lagi dapat dikenal pasti secara visual, menurut jawatankuasa itu seperti dilaporkan The Kathmandu Post.

Pakar kesihatan memberi amaran bahawa pereputan selanjutnya serta bau busuk daripada jasad berkenaan boleh meningkatkan risiko jangkitan dan penularan wabak.

Jawatankuasa itu pada Sabtu memutuskan untuk mengebumikan semua mayat yang belum dikenal pasti dan tidak dituntut mengikut Arahan Pengurusan Mayat Tidak Dikenal Pasti dan Tidak Dituntut (Pindaan Pertama) 2026, sebagai langkah kecemasan bagi mencegah pereputan selanjutnya serta memastikan urusan pengebumian dilakukan secara selamat, bermaruah dan mengikut undang-undang.

Sampel asid deoksiribonukleik (DNA) akan diambil daripada semua mayat sebelum dikebumikan dan rekod akan disimpan menggunakan nombor pengenalan, menurut keputusan itu.

Lokasi pengebumian ialah kawasan lapang di Devghat, Wad 1, Bandar Metropolitan Bharatpur.

Inspektor Polis Chitwan Anil Thapa berkata, setiap mayat diberikan nombor pengenalan unik, dengan tag dipasang pada plat keluli supaya waris boleh menggali semula kubur dan mengeluarkan jasad berkenaan selepas padanan DNA disahkan. - Bernama

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved