Banjir Nepal: Lumpur tebal sukarkan misi menyelamat mangsa

WorldEnvironment
29 Aug 2026 • 10:34 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Banjir Nepal: Lumpur tebal sukarkan misi menyelamat mangsa

KATHMANDU – Tentera Nepal mempergiat operasi mencari dan menyelamat (SAR) susulan banjir kilat dahsyat di kawasan Himalaya, namun berdepan cabaran termasuk lumpur tebal dan mangsa terperangkap di dalam terowong gunung, lapor agensi berita Jerman, dpa.

Lapisan lumpur menyukarkan helikopter untuk mendarat dan berlepas di kawasan terjejas termasuk Temure, Syabrubesi dan Mailung, kata jurucakap tentera Raja Ram Basnet di Battar Bazar, wilayah Bagmati yang bersempadan dengan Tibet semalam.
Sebanyak 14 helikopter penyelamat sedang beroperasi di wilayah itu dan usaha menyelamat dipertingkatkan, kata Basnet.

Pihak berkuasa pengurusan bencana Nepal berkata lebih 4,400 orang diselamatkan menjelang petang semalam.
Tentera menggunakan helikopter untuk memindahkan penduduk yang terputus hubungan dan membawa mereka ke kem latihan tentera di Battar Bazar.

Tentera memikul tanggungjawab utama bagi operasi mencari dan menyelamat semasa bencana di Nepal.

Menurut Basnet, terowong di kawasan pergunungan itu merupakan satu lagi cabaran memandangkan mangsa dilaporkan terperangkap di dalamnya.

Katanya, hanya empat orang berjaya diselamatkan daripada terowong tersebut menjelang pagi semalam sambil menambah ramai lagi dipercayai masih terperangkap.

Rakaman video menunjukkan anggota penyelamat mengeluarkan dua pekerja diselaputi lumpur dalam keadaan masih hidup dari sebuah terowong di loji jana kuasa hidroelektrik.

Kedua-dua lelaki itu dibawa ke helikopter dengan cara digendong oleh anggota penyelamat.

Sukar untuk menentukan berapa lama operasi menyelamat akan berterusan, kata Basnet. Pihak berkuasa Nepal pada Jumaat berkata 1,924 orang dilaporkan hilang di kawasan pelancongan pergunungan popular itu termasuk 517 warga asing.

Di sebelah sempadan China, iaitu di Tibet, seramai 558 orang dilaporkan hilang. — BERNAMA

The post Banjir Nepal: Lumpur tebal sukarkan misi menyelamat mangsa appeared first on Kosmo Digital.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved