Nepal tolak SMART, hanya minta barangan

4 Sep 2026 • 6:40 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Nepal tolak SMART,  hanya minta barangan

ARAU: Kerajaan Nepal telah membuat pendirian hanya menerima bantuan dalam bentuk barangan dan bukan sokongan anggota bagi membantu tugas menyelamat mangsa tragedi banjir di negara itu.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) juga bersiap sedia sepenuhnya untuk digerakkan pada bila-bila masa sekiranya diperlukan bagi membantu menyelamatkan rakyat Malaysia yang masih hilang dalam tragedi banjir di Nepal.

Beliau berkata, keputusan tersebut berkemungkinan diambil negara berkenaan bagi mengelakkan situasi kelam kabut khususnya membabitkan koordinasi anggota terlibat.

“Kerajaan Nepal telah buat pendirian mereka hanya mene­rima bantuan-bantuan dalam bentuk barangan, bukan hantar anggota. Pasukan SMART kita sememangnya bila-bila masa bersedia untuk dihantar.

“Nepal sudah beritahu, tidak mahu pasukan. Mungkin jika terlalu banyak sangat pasukan dihantar, mungkin jadi kelam-kabut.

“Atas sebab itu, Nepal menyatakan pendirian begitu, namun tidak ada halangan untuk kita menghantar barang-barang yang mungkin diperlukan,” katanya ditemui selepas Program Syarahan Eksekutif Menteri Pertahanan Bersama Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes) Universiti Awam (UA) di Universiti Malaysia Perlis (Unimap), di sini semalam.

Mohamed Khaled menjawab persoalan sama ada kerajaan akan menggerakkan aset-aset Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bagi membantu tugas menyelamat rakyat Malaysia yang masih hilang dalam kejadian di Nepal itu.

Media sebelum ini melaporkan keluarga 55 rakyat Malaysia yang masih hilang dalam tragedi banjir di Nepal mempersoalkan objektif misi SMART ke lokasi bencana selepas sembilan hari kejadian.

Jurucakap Malaysia Solidari­ty: Families in Hope (MASFIH), Dr. R. Manivannan dilaporkan berkata, tempoh paling kritikal untuk pasukan SMART berada secara fizikal di kawasan itu telah berlalu dan penjelasan secara terperinci perlu diberikan kepada pihak keluarga.

Mengulas mengenai program berkenaan, Mohamed Khaled berkata, platform itu digunakan pihaknya bagi bertemu Palapes untuk menyampaikan perkara-perkara yang seharusnya berada dalam pengetahuan dan pandangan pihak terlibat.

Katanya, program Palapes adalah sangat penting bukan sahaja untuk universiti sebagai salah satu pengisian buat pelajar tetapi juga bagi ATM.

“Ia juga menjadi ruang untuk kita teroka bakat-bakat yang boleh sertai ATM dan sebagai ruang untuk kita bangunkan kesedaran supaya mereka bersedia menjadi pasukan sukarela untuk terus bersama-sama jaga pertahanan negara,” katanya. – UTUSAN

The post Nepal tolak SMART, hanya minta barangan appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved