Nestle Malaysia sasar tanam tiga juta pokok lagi dalam tempoh lima tahun

LocalEnvironment
6 Jan 2026 • 3:02 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Nestle Malaysia sasar tanam tiga juta pokok lagi dalam tempoh lima tahun image is not available haziq06/01/2026 - 15:02 Oleh HAZIQ HAKIMI haziq@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 6 Jan – Nestlé Malaysia menyasarkan untuk menanam tiga juta lagi pokok dalam tempoh lima tahun akan datang susulan memasuki fasa seterusnya inisiatif kelestarian syarikat itu.

 

Sasaran tersebut diumumkan ketika syarikat berkenaan mencapai satu pencapaian penting selepas berjaya menanam tiga juta pokok di seluruh negara menerusi ProjekRELeaf sejak 2021.

 

Digabungkan dengan Projek RiLeaf di Sabah, Nestlé Malaysia kini telah menanam empat juta pokok sekali gus menjadikannya usaha penanaman semula hutan terbesar oleh sektor swasta di Malaysia.

 

Pencapaian itu direalisasikan menerusi kerjasama dengan Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia, Jabatan Hidupan Liar Sabah, Malaysian Nature Society, serta rakan-rakan perladangan termasuk SD Guthrie Bhd, TDM Plantation Sdn Bhd, IOI Plantation Sdn Bhd, Sabah Softwoods Bhd, Sawit Kinabalu Sdn Bhd dan Ikhasas Sdn Bhd.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Nestlé Malaysia, Juan Aranols berkata, inisiatif tersebut mencerminkan kepercayaan syarikat bahawa perniagaan mempunyai tanggungjawab untuk melindungi alam sekitar demi generasi akan datang.

 

“Walaupun liputan hutan Malaysia kini berada pada paras 54%, melebihi sasaran nasional sebanyak 50%, usaha memelihara dan memulihkan ekosistem ini kekal penting,” katanya dalam satu kenyataan.

 

Beliau berkata, berasaskan momentum yang dicapai, Nestlé Malaysia kini melancarkan fasa baharu inisiatif itu dengan sasaran menanam tiga juta lagi pokok dalam tempoh lima tahun akan datang.

 

“Seiring kemajuan ke hadapan, syarikat akan terus bekerjasama rapat dengan rakan strategik dan komuniti setempat bagi memacu usaha penanaman semula hutan mengikut kriteria ekologi yang ketat, memperkukuh biodiversiti serta menyokong aspirasi iklim negara,” katanya.

 

Nestlé Malaysia memaklumkan fasa seterusnya, di bawah RELeaf2030, turut akan mempercepatkan usaha dalam agroforestri dan pertanian regeneratif.

 

Melalui kerjasama dengan pekebun kecil dan pengusaha ladang, syarikat itu akan mengintegrasikan spesies hutan dan pokok buah-buahan ke dalam ladang koko dan kopi, dengan matlamat meningkatkan daya tahan tanaman, mempelbagaikan sumber pendapatan petani serta memulihkan ekosistem yang lebih sihat, sekali gus mewujudkan nilai jangka panjang kepada komuniti. - DagangNews.com

Terkini standard