Nestlé Malaysia catat untung bersih RM557.6 juta bagi sembilan bulan

LocalBusiness & Finance
28 Oct 2026 • 8:31 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Nestlé Malaysia catat untung bersih RM557.6 juta bagi sembilan bulan

PETALING JAYA: Nestlé Malaysia mencatatkan keuntungan selepas cukai (PAT) sebanyak RM557.6 juta bagi tempoh sembilan bulan pertama berakhir 30 September 2026, disokong pertumbuhan jualan serta pengurusan kewangan yang berdisiplin.

Bagi tempoh sama, perolehan syarikat meningkat 6.7 peratus kepada RM5.55 bilion, dipacu terutamanya oleh jualan domestik yang lebih kukuh.

Prestasi itu mencerminkan keupayaan syarikat mengimbangi pertumbuhan dengan pengurusan kewangan berdisiplin, di samping mengekalkan pelaburan dalam jenama serta memperkukuh daya saing operasinya.

Sejajar dengan komitmen untuk menjana pulangan mampan kepada pemegang saham, Lembaga Pengarah Nestlé Malaysia mengisytiharkan dividen interim kedua sebanyak 80 sen sesaham bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2026.

Ketua Pegawai Eksekutif Nestlé Malaysia, Juan Aranols berkata, prestasi bagi tempoh sembilan bulan pertama mencerminkan permintaan berterusan pengguna terhadap jenama syarikat serta usaha berdisiplin dan berkualiti tinggi oleh seluruh pasukannya.

“Dalam keadaan pengguna terus bijak membuat pilihan, kami kekal memberi tumpuan untuk menawarkan kualiti, khasiat pemakanan, kemudahan dan nilai yang disokong oleh inovasi serta pelaburan berterusan dalam jenama dan operasi kami.

“Dengan operasi pengeluaran yang kukuh dan produk 100 peratus bersijil halal yang dibuat di Malaysia untuk rakyat Malaysia, oleh rakyat Malaysia, kami telah membina hubungan erat dengan pengguna dan komuniti di tempat kami beroperasi.

“Kekuatan asas ini menjadi tunggak dalam usaha kami mengembangkan perniagaan dan mencipta nilai dalam jangka panjang,” katanya dalam kenyataan.

Bagi suku ketiga berakhir 30 September 2026 pula, Nestlé Malaysia mencatatkan untung selepas cukai sebanyak RM197.5 juta, manakala untung sebelum cukai meningkat kepada RM263.1 juta.

Peningkatan keuntungan itu didorong oleh jualan lebih tinggi, kos komoditi yang lebih sederhana serta tumpuan berterusan terhadap kecekapan operasi dan inisiatif pendigitalan.

Nestlé Malaysia turut mengekalkan momentum positif pada suku ketiga dengan merekodkan perolehan RM1.86 bilion, meningkat 5.3 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.

Beliau berkata, pertumbuhan itu dipacu permintaan domestik yang kekal berdaya tahan dalam kategori produk utama, disokong inovasi berterusan dan pelaksanaan komersial yang berkesan.

“Pada masa sama, permintaan terhadap produk halal buatan Malaysia keluaran syarikat kekal konsisten merentasi pasaran eksport.

“Dalam tempoh suku berkenaan, syarikat terus melabur dalam jenama teras menerusi inovasi, pembinaan jenama dan pelaksanaan kukuh di tempat jualan bagi memastikan produknya kekal relevan kepada pengguna dalam pelbagai keadaan dan kegunaan.

“Ia termasuk edisi terbaharu kempen utama Gaji Seumur Hidup Nestlé yang menghimpunkan pelbagai jenama daripada portfolio syarikat sekali gus memperkukuh keterlibatan dengan pengguna di Malaysia,” katanya.

Sebagai sebahagian daripada pendekatan Menjana Nilai Bersama, Nestlé Malaysia terus memanfaatkan skala, kepakaran dan kerjasama untuk mencetus impak positif malah yang tidak terbatas kepada operasi perniagaannya. –UTUSAN

The post Nestlé Malaysia catat untung bersih RM557.6 juta bagi sembilan bulan appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved