RM250 Juta atasi kesesakan! Bandar MADANI Bukit Jalil dibangun berfasa 15 tahun

28 Oct 2026 • 9:32 AM MYT
Oh My Media
Oh My Media

A digital platform emphasizing quality content and inspirational stories.

Pembangunan Bandar MADANI Bukit Jalil akan dilaksanakan secara berfasa dalam tempoh 15 tahun, dengan kerajaan sedang menyediakan peruntukan RM250 juta bagi menaik taraf jalan raya dan mengurangkan kesesakan trafik di kawasan berkenaan.

Projek berkenaan bukan sekadar pembangunan perumahan

Memetik laporan daripada Bernama, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming menyatakan peruntukan itu akan digunakan untuk menaik taraf jalan sedia ada, membina jalan baharu empat lorong serta dua jambatan bagi melancarkan aliran trafik.

Menurutnya, projek berkenaan bukan sekadar pembangunan perumahan berkepadatan tinggi, sebaliknya sebuah ekosistem bandar berintegrasi yang menggabungkan kediaman mampu milik dengan kemudahan pendidikan, kesihatan dan komuniti.

“Projek ini direka khas untuk memastikan rakyat tidak hanya memiliki kediaman, tetapi menikmati kualiti hidup yang lengkap,” katanya ketika menggulung perbahasan Belanjawan 2027 Peringkat Dasar bagi kementeriannya di Dewan Rakyat.
Image from: RM250 Juta atasi kesesakan! Bandar MADANI Bukit Jalil dibangun berfasa 15 tahun

Foto: FB Parlimen Malaysia

Antara kemudahan yang dirancang ialah sekolah bersepadu yang menggabungkan prasekolah, sekolah rendah dan sekolah menengah dalam satu kompleks, selain klinik kesihatan moden serta Hab MADANI.

Hab MADANI itu dicadangkan merangkumi ruang penjaja, kios polis, dewan serba guna, surau, kemudahan pengangkutan dan hentian bas setempat.

Image from: RM250 Juta atasi kesesakan! Bandar MADANI Bukit Jalil dibangun berfasa 15 tahun

Foto: PR1MA

Pembangunan teraplan konsep bandar mesra pejalan kaki

Pembangunan tersebut turut menerapkan konsep bandar mesra pejalan kaki dalam lingkungan 15 minit, dengan kemudahan asas dan kawasan rekreasi dihubungkan melalui laluan berbumbung.

Nga menambah, Penilaian Impak Trafik (TIA), Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA) dan Penilaian Impak Sosial (SIA) sedang dilaksanakan bagi menilai kesan pembangunan terhadap penduduk sedia ada.

Image from: RM250 Juta atasi kesesakan! Bandar MADANI Bukit Jalil dibangun berfasa 15 tahun

Sebelum ini, Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok menggesa kerajaan menangguhkan pendaftaran Rumah MADANI di kawasan itu sehingga kajian pelan kawalan mikro Bukit Jalil dan Pelan Tempatan Kuala Lumpur 2040 selesai, susulan kebimbangan terhadap kesesakan trafik.

Dalam perkembangan berasingan, Nga memaklumkan sebanyak RM467,140 denda direkodkan terhadap kesalahan membuang sampah kecil di tempat awam dari Januari hingga September tahun ini, selain 3,638 jam hukuman khidmat masyarakat dikenakan.

KPKT turut merekodkan 8,960 operasi penguatkuasaan dan mengeluarkan 17,145 notis kesalahan sepanjang tempoh berkenaan.

Sumber: Bernama 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved