RM14.3 juta berjaya dikembali kepada mangsa scam

LocalPolitics
27 Oct 2026 • 4:59 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: RM14.3 juta berjaya dikembali kepada mangsa scam

KUALA LUMPUR: Sebanyak RM14.3 juta berjaya dikembalikan kepada mangsa scam dalam talian bagi tempoh antara Oktober 2022 hingga September tahun ini.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) telah bertindak susulan aduan mangsa bagi menyekat pengaliran dana ke beberapa akaun bank lain yang disyaki terlibat dalam penipuan tersebut.

Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa jumlah yang dipulihkan itu masih belum mencukupi berbanding kerugian besar yang ditanggung oleh para mangsa.

“Adakah kita berpuas hati dengan ini? Jawapannya tidak, kerana jumlah kerugian akibat penipuan dalam talian ini kekal besar,” katanya pada sesi penggulungan Rang Undang-Undang Perbekalan 2027 bagi Kementerian Dalam Negeri di Dewan Rakyat, hari ini.

Menurut Saifuddin lagi, dari 12 Oktober 2022 hingga Ogos tahun ini, talian hotline 997 NSRC menerima sebanyak 468,675 panggilan melibatkan laporan kerugian berjumlah RM1.2 bilion.

Katanya, pihak polis telah mempergiat usaha pengumpulan maklumat risikan dan operasi penguatkuasaan terhadap sindiket penipuan dalam talian.

“Antara 2024 hingga bulan lalu, polis telah melaksanakan sebanyak 968 serbuan serta menahan seramai 7,262 individu. Profil lanjut mendapati 2,912 daripada individu yang ditahan mempunyai rekod pernah bekerja atau tinggal di Kemboja, sebuah negara yang sering dikaitkan dengan aktiviti sedemikian.

“Ini merupakan dapatan yang signifikan. Maklumat ini akan membantu memperkukuh pengumpulan maklumat risikan serta pemantauan terhadap sindiket jenayah rentas sempadan.

“Kita juga sedang memperhebat kerjasama antarabangsa melalui Interpol, Aseanapol dan saluran dua hala antara polis ke polis,” jelasnya

Dalam perkembangan lain, Saifuddin ketika menyentuh mengenai sindiket jenayah terancang yang menjadikan Malaysia sebagai pangkalan operasi memaklumkan bahawa, pihak polis telah meningkatkan usaha risikan, operasi dan serbuan yang menyasarkan premis yang dikenal pasti sebagai pusat panggilan penipuan.

Beliau berkata, tindakan penguatkuasaan bukan sahaja menyasarkan operator, malah struktur operasi sindiket yang lebih luas.

Dari 2023 hingga Ogos tahun ini, tangkapan berkaitan pusat panggilan merangkumi 36 dalang utama, 74 pengurus, 165 penyelia, 118 petugas kewangan yang menguruskan akaun keldai, 18 petugas komunikasi, 132 pengaturcara teknologi maklumat (IT) , 8,500 operator dan 157 pekerja am.

“Pendekatan ini bertujuan melumpuhkan rangkaian perintah, teknikal, komunikasi dan kewangan yang membolehkan sindiket ini beroperasi di dalam negara,” tambahnya.

Sepanjang tempoh yang sama, polis telah melaksanakan sebanyak 61,363 operasi, kata Saifuddin.

Polis merekodkan 18,393 tangkapan pada 2023, 12,278 pada 2024, 23,753 pada 2025 dan 16,740 dari Januari hingga Ogos tahun ini.

“Angka-angka ini menggambarkan skala bentuk jenayah baharu ini serta tahap keseriusan ancaman yang dibawanya,” katanya. – UTUSAN

The post RM14.3 juta berjaya dikembali kepada mangsa scam appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved