PUTRAJAYA - Tun Dr Mahathir Mohamad menyelar kenyataan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu yang menafikan penubuhan negara Palestin.
Sambil menyifatkan Netanyahu tidak tahu berterima kasih, bekas Perdana Menteri itu berkata, pendirian berkenaan tidak seharusnya dibuat memandangkan Israel sendiri, diwujudkan selepas sebahagian tanah Palestin dipisahkan bagi membentuk negara berkenaan.
“Ini adalah kenyataan yang paling tidak berterima kasih. Tiada Israel sebelum ini sehinggalah tanah Palestin dipisahkan untuk mewujudkan Israel,” katanya menerusi kenyataan pada Khamis.
Beliau turut menyelar Netanyahu bahawa rasa berterima kasih bukanlah sifat yang ada pada Perdana Menteri Israel dan para penyokongnya.
Netanyahu ketika mesyuarat Kabinet rejim itu pada 9 Ogos lalu yang menegaskan bahawa Palestin tidak akan diwujudkan selagi beliau menjadi Perdana Menteri.
Netanyahu dilaporkan berkata, negara Palestin tidak akan ditubuhkan “bukan di Gaza dan bukan di Tebing Barat”.
Pendirian itu dibuat ketika Israel membincangkan pelan berkaitan masa depan Gaza, termasuk cadangan damai yang dikaitkan dengan pentadbiran Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump.
Netanyahu turut menegaskan Israel tidak akan berundur dari Gaza sehingga Hamas dilucutkan senjata.






