
PUTRAJAYA: Rayuan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dalam prosiding Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Batu Puteh ditangguhkan bagi membolehkan barisan peguam yang mewakili beliau memfailkan permohonan untuk memasukkan laporan suruhanjaya itu sebagai bukti baharu.
Peguam Zainur Zakaria memaklumkan kepada panel tiga hakim diketuai Datuk Azizul Azmi Adnan dan bersidang bersama-sama Datuk Ong Chee Kwan dan Datuk Seri Mohd Radzi Harun bahawa pihaknya memerlukan dua minggu untuk memfailkan laporan terbabit.
Terdahulu, Zainur memaklumkan bahawa prosiding inkuiri RCI dilakukan bagi melihat cara pengendalian, mengetahui proses dan prosedur berkaitan kedaulatan Batu Puteh itu namun hasil laporan tersebut telah mengaitkan Dr. Mahathir atas kehilangan pulau tersebut kepada Singapura.
“Seksyen 18 Seksyen 18 di bawah Akta Suruhanjaya Siasatan 1950 menyatakan mana-mana orang yang perlakuannya menjadi perkara siasatan di bawah akta ini atau yang dalam apa-apa cara terlibat atau berkepentingan dalam sesuatu perkara yang disiasat berhak untuk diwakili oleh seorang peguam bela sepanjang keseluruhan siasatan. Maksudnya sangat jelas.
“Ia merupakan hak yang diberikan oleh statut, yang membolehkan orang yang perlakuannya menjadi perkara siasatan, atau yang dalam apa-apa cara terlibat dalam siasatan tersebut untuk hadir dalam siasatan bersama peguamnya. Hak ini telah dinafikan kepada anak guam saya.
“Salah satu dapatan mereka ialah bahawa anak guam saya didakwa telah melakukan kesalahan (iaitu) berbohong kepada Kabinet ketika beliau memberi taklimat kepada Kabinet mengenai isu Pulau Batu Putih dan Suruhanjaya tersebut mengesyorkan agar pendakwaan dimulakan terhadap anak guam saya.
“Dalam semua keadaan ini, dalam ketiadaan beliau, beliau tidak dibenarkan untuk mencabar keterangan saksi-saksi tersebut, untuk menguji kesahihan, ketepatan atau kebenaran keterangan mereka, dengan alasan bahawa ia hanyalah suatu siasatan mencari fakta,” katanya.
Dalam penggulungan perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Kekebalan Bidang Kuasa Negara Asing 2023 di Dewan Negara pada 1 April 2024, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said dilaporkan berkata, perdana menteri yang membuat keputusan secara sembunyi adalah individu bertanggungjawab menyebabkan Malaysia kehilangan Pulau Batu Puteh dalam proses rayuan di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ).
Dakwa Menteri itu, Perdana Menteri ketika itu membuat keputusan secara bersendirian, tanpa sesiapa mengetahuinya termasuk peguam negara yang bercuti ketika itu.
Walaupun tidak menyebutkan nama secara spesifik, bagaimanapun, ia dikaitkan dengan Mahathir semasa pentadbirannya dalam gabungan Pakatan Harapan (PH).
Bagaimanapun ketika merujuk kepada laporan berkenaan, Hakim Azizul Azmi menimbulkan persoalan sama ada laporan berkenaan telah dimasukkan sebagai bukti dalam rayuan tersebut.
Zainur memaklumkan, pada ketika semakan kehakiman dibuat, RCI berkenaan masih berjalan dan laporannya hanya dikeluarkan selepas rayuan difailkan ke Mahkamah Rayuan. Laporan itu juga telah dinyahklasifikasi pada 5 Disember 2024.
“Jika awak ingin kami (panel hakim) untuk mengambil kira (judicial notice) atas dapatan laporan berkenaan, adalah lebih wajar untuk laporan tersebut untuk dikemukakan kepada kami.
“Ada dua kemungkinan, pertama ialah awak berhujah tanpa laporan ini dimasukkan sebagai bukti yang mana kami tidak boleh membuat sebarang pertimbangan mengenainya. Kedua, memfailkan permohonan untuk memasukkan bukti baharu bagi memasukkan laporan tersebut,” kata Hakim Azizul.
Bagaimanapun, Peguam Kanan Persekutuan, Shamsul Bolhassan membantah tindakan untuk memfailkan permohonan bagi memasukkan laporan itu sebagai bukti baharu atas alasan prosiding berkenaan adalah akademik memandangkan hasil RCI telahpun dibentangkan dan dikemukakan kepada Yang di-Pertuan Agong (YDPA).
Selepas membenarkan penangguhan bagi membolehkan peguam Dr. Mahathir memfailkan permohonan tersebut, mahkamah kemudian menetapkan 10 September ini untuk pengurusan kes berkenaan.
Dr. Mahathir merayu terhadap keputusan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Amarjeet Singh pada 13 Januari 2025 yang menolak semakan kehakiman beliau untuk hadir pada prosiding berkenaan.
Pada 5 Jun 2024, Dr. Mahathir memfailkan permohonan kebenaran semakan kehakiman supaya prosiding RCI dijalankan secara terbuka dan beliau serta peguamnya dibenarkan hadir sepanjang prosiding berkenaan.
Beliau memfailkan permohonan itu dengan menamakan Pengerusi RCI yang juga bekas Ketua Hakim Negara, Tun Md. Raus Sharif dan Timbalan RCI, Tan Sri Zainun Ali serta ahli-ahli RCI sebagai responden. – UTUSAN
The post RCI Batu Puteh: Rayuan Tun Mahathir ditangguhkan appeared first on Utusan Malaysia.






