Netflix kerap melakukan eksperimen dengan ciri dan fungsi baharu. Baru-baru ini mereka mengumumkan ciri “Netflix Saya” pada iOS sebagai hab setempat untuk kandungan yang diminati pengguna. Ciri ini masih tidak tersedia pada peranti Android, tetapi peranti Android ada ciri Boomark (Penanda Buku) yang saya sendiri tidak pernah lihat di mana-mana peranti lain.

Ciri ini dilihat membolehkan pengguna menanda adegan kegemaran ketika sesuatu kandungan sedang dimainkan. Misalnya jika ada adegan menarik yang anda ingin tonton bersama yang tersayang, atau anda ingin sambung tonton pada saat adegan menarik tadi bermula ciri ini amat berguna.

Selepas ditanda, ia boleh diakses pada profil pengguna bahagian “Penanda Buku”. Di sini anda boleh mengakses semua adegan tadi dan apabila dimainkan anda boleh tekan “Seterusnya” untuk ke adegan lain yang telah ditanda. Lebih menarik, setiap adegan ini boleh dikongsi dengan rakan melalui pautan khas.

Netflix turut kini membolehkan paparan aplikasi Android secara melintang selepas bertahun lamanya hanya boleh digunakan dalam keadaan menegak. Ciri ini dilihat hanya boleh diakses oleh pengguna beta 8.82.0 build 13 50482 yang tersedia di Play Store atau jika anda berani memasang fail APK, ia tersedia di laman APKMirror.
