Netizen Ungkit Isu Nafkah RM500, Ini Respons ‘Padu’ Sharnaaz Ahmad - “Jaga Anak Tu Elok-Elok, Jangan Ikut Perangai…”

10 Nov 2024 • 7:55 AM MYT
Gempak
Gempak

Portal Hiburan No.1 Malaysia!

image is not available

Pelakon Sharnaaz Ahmad berkongsi paparan skrin komen netizen yang mengungkit semula isu bayaran nafkah sebanyak RM500 yang pernah diberikan kepada bekas isterinya iaitu usahawan Noor Nabila.

Ungkit isu nafkah

Sharnaaz atau nama sebenarnya Sharnaaz Ahmad Basir Ahmad, berkongsi semula komen daripada seorang wanita itu menerusi Instastory miliknya.

 

"Betul ke dulu ada isu nafkah bagi Nabila RM500 sahaja sampai bercerai?" tulis wanita berkenaan.

 

Tidak dapat menahan sabar, pelakon berusia 39 tahun itu secara sarkastik memberi amaran kepada wanita tersebut agar menjaga anak-anaknya supaya tidak mengikut sikap negatif ditunjukkan.

Beri teguran

“Bila akak ‘gomen’ guna Wifi Starbucks berbicara. Jaga anak tu elok-elok, jangan ikut perangai awak sudahlah,” katanya.

 

Sharnaaz bagaimanapun turut membalas komen tersebut dengan meluahkan rasa syukur atas rezeki diberikan Allah SWT malah sudah mampu membayar nafkah anak dengan jumlah setimpal.

 

"Tak mengapa, sekarang ini Alhamdulillah rezeki Allah bagi, nafkah aku beri pada anak aku lagi banyak dari gaji makcik itu. Syukur rezeki Allah," ujarnya.

 

Untuk rekod, Sharnaaz pernah mendirikan rumah tangga dengan kakak kepada selebriti dan usahawan terkenal Neelofa iaitu Noor Nabila pada Mac 2017.

Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan seorang cahaya mata lelaki iaitu Jebat Jayden yang kini berusia tujuh tahun.

 

Bagaimanapun, pasangan itu bercerai pada Julai 2020.

 

Ketika itu, selain tiada persefahaman dan tinggal berasingan sejak Februari 2018, Nabila memberi alasan mahu bercerai kerana Sharnaaz memberi nafkah zahir tidak mencukupi iaitu hanya RM500 sebulan walaupun lebih daripada mampu.