NexG Bina umum pembatalan rundingan penjualan perniagaan pakaian dalam RM34.1 juta

LocalBusiness & Finance
8 Sep 2026 • 9:00 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

NexG Bina umum pembatalan rundingan penjualan perniagaan pakaian dalam RM34.1 juta Image from: NexG Bina umum pembatalan rundingan penjualan perniagaan pakaian dalam RM34.1 juta johardy08/09/2026 - 09:00 Oleh Muhammad Iman editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 8 Sept - Usaha NexG Bina Berhad untuk mengurangkan penglibatannya dalam perniagaan pakaian dalam yang menjadi antara identiti syarikat sejak sekian lama berdepan jalan buntu selepas rundingan menjual 49% kepentingan dalam dua anak syarikat pembuatannya ditamatkan.

 

Syarikat yang sebelum ini dikenali sebagai Classita Holdings Bhd dan asalnya Caely Holdings Bhd itu berkata, perjanjian awal bagi cadangan pelupusan kepentingan dalam Classita (M) Sdn Bhd dan Marywah Industries (M) Sdn Bhd telah ditamatkan secara bersama.

 

Cadangan pembeli ialah Choo Peng Hung, pengarah kedua-dua anak syarikat milik penuh berkenaan, yang sebelum ini berhasrat memperoleh 49% kepentingan tersebut ketika NexG Bina mula mengalihkan tumpuan kepada sektor hartanah dan pembinaan.

 

Menurut makluman syarikat kepada Bursa Malaysia, penamatan itu dibuat selepas tiada perkembangan material selanjutnya sejak perjanjian awal tersebut dimeterai pada September 2025.

 

Tempoh untuk memuktamadkan urus niaga itu sebelum ini telah dilanjutkan. Pada Mac lalu, tarikh akhir untuk menandatangani perjanjian muktamad dilanjutkan selama enam bulan sehingga 7 September.

 

Namun, tempoh berkenaan berakhir tanpa sebarang perjanjian dimuktamadkan, sekali gus menamatkan cadangan urus niaga bernilai RM34.1 juta itu.

 

Perniagaan lama kekal dalam kumpulan

Classita (M) dan Marywah Industries terlibat dalam pembuatan pakaian dalam dengan operasi kilang utama mereka terletak di Teluk Intan, Perak. Marywah turut mengeluarkan pelitup muka perlindungan dan peralatan perlindungan diri (PPE).

 

Cadangan pelupusan itu bukan sekadar melibatkan nilai RM34.1 juta, malah merupakan sebahagian daripada usaha NexG Bina untuk mengurangkan tumpuan terhadap perniagaan pembuatan pakaian dalam yang telah lama dikaitkan dengan syarikat dan menyalurkan sumber kepada pembangunan hartanah.

 

Peralihan tersebut semakin ketara selepas NexG Berhad muncul sebagai pemegang saham tunggal terbesar syarikat dengan pegangan 32.61% pada Ogos 2025.

 

NexG memperoleh kepentingan itu daripada Hong Seng Consolidated Bhd, yang kini dikenali sebagai Aimax Berhad, sekali gus membuka ruang kepada hala tuju strategik baharu yang semakin tertumpu kepada sektor hartanah dan pembinaan.

 

Bagaimanapun, susulan pembatalan cadangan pelupusan tersebut, Classita (M) dan Marywah Industries kekal sebagai anak syarikat milik penuh NexG Bina, menyaksikan perniagaan pakaian dalam yang diwarisinya terus berada dalam kumpulan ketika syarikat meneruskan aspirasi dalam sektor hartanah dan pembinaan. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved