Vestland peroleh kontrak RM264 juta bina tembok sempadan di Sungai Golok daripada Johnson Fluid

LocalBusiness & Finance
7 Sep 2026 • 5:20 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Vestland peroleh kontrak RM264 juta bina tembok sempadan di Sungai Golok daripada Johnson Fluid Image from: Vestland peroleh kontrak RM264 juta bina tembok sempadan di Sungai Golok daripada Johnson Fluid amree07/09/2026 - 17:20 Foto BERNAMA Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 7 SeptVestland Berhad memperoleh kontrak bernilai RM263.73 juta daripada Johnson Fluid Engineering Sdn Bhd (JFESB) bagi pembinaan dan penyiapan tembok dwifungsi serta kerja berkaitan di sepanjang sempadan Sungai Golok, Kelantan.

 

Kumpulan itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia berkata, anak syarikat milik penuhnya, Vestland Infra Sdn Bhd (VISB) menerima surat penganugerahan (LOA) bertarikh 7 September 2026 daripada JFESB bagi melaksanakan projek berkenaan yang dikenali sebagai Pakej 1.

 

Menurutnya, skop kontrak tersebut merangkumi kerja-kerja struktur bagi dinding cerucuk kepingan dengan dua fungsi serta kerja jambatan sebagai sebahagian daripada pembangunan berkenaan.

 

"Kerja-kerja tersebut dijadualkan bermula pada 21 September 2026 dan perlu disiapkan menjelang 14 April 2028, dengan membabitkan tempoh pelaksanaan kira-kira 19 bulan," kata Vestland.

 

Ujarnya, kontrak itu dijangka memberi sumbangan positif kepada pendapatan dan aset bersih kumpulan sepanjang tempoh kontrak, dengan andaian tiada kelewatan material terhadap jadual pelaksanaan.

 

Kontrak itu juga tidak memberi kesan terhadap modal saham terbitan Vestland atau pegangan pemegang saham utama kerana tiada penerbitan saham baharu bagi membiayai atau melaksanakan projek berkenaan.

 

Vestland_DagangNews2026

 

JFESB merupakan syarikat diperbadankan di Malaysia yang terlibat dalam reka bentuk dan pembinaan infrastruktur serta bangunan, selain reka bentuk, pembekalan, fabrikasi, pemasangan, pengujian dan pentauliahan sistem kejuruteraan kawalan bendalir serta sistem elektrik.

 

"Tender berkenaan adalah dalam perjalanan biasa perniagaan VISB dan kumpulan tidak menjangkakan sebarang risiko luar biasa selain risiko operasi lazim yang berkaitan dengan pelaksanaan projek," tambahnya.

 

Lembaga pengarah Vestland dalam pada itu berkata, selepas diambil kira semua aspek kontrak berkenaan, pihaknya berpandangan bahawa projek tersebut adalah demi kepentingan terbaik kumpulan.

 

Ia turut mengesahkan tiada pengarah, pemegang saham utama atau pihak yang berkaitan dengan mereka mempunyai kepentingan secara langsung atau tidak langsung dalam kontrak tersebut.

 

Projek Sungai Golok itu dijangka menambah keterlihatan pendapatan Vestland sepanjang tempoh pelaksanaannya, selain mengukuhkan kedudukan kumpulan dalam sektor pembinaan infrastruktur.

 

"Ini merupakan kontrak keenam diperoleh tahun ini dan meningkatkan buku tender bagi FY26 sebanyak RM1.1 billion," kata Pengarah Urusan Bersama Vestland, Datuk Liew Foo Heen. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved