Nga Kekal Pendirian Sedia Letak Jawatan Demi Pertahan Integriti Kehakiman

LocalPolitics
12 Jul 2026 • 4:35 PM MYT
Siakap Keli
Siakap Keli

We’re a fast growing company with over 20 million page views per month.

Nga Kekal Pendirian Sedia Letak Jawatan Demi Pertahan Integriti Kehakiman

Nga Kekal Pendirian Sedia Letak Jawatan Demi Pertahan Integriti Kehakiman

KUALA LUMPUR, 12 Julai (Bernama) -- Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming berkata beliau kekal dengan pendiriannya yang bersedia meletakkan jawatan sebagai anggota Jemaah Menteri demi mempertahankan integriti sistem kehakiman negara.

Menerusi hantaran di laman Facebook hari ini, beliau berkata pendirian itu dibuat atas prinsip serta tidak mempunyai kaitan dengan soal peribadi.

"Merujuk kepada ada pihak yang mendesak supaya saya letak jawatan, sila baca kenyataan penuh saya semasa wawancara eksklusif bersama Oriental Daily," jelas Nga.

Beliau berkata apa yang dinyatakan beliau semasa wawancara tersebut iaitu kewibawaan sistem kehakiman negara perlu dipertahankan adalah pendiriannya yang konsisten sebagai seorang peguamcara dan peguambela Mahkamah Tinggi Malaya.

“Jika Datuk Seri Najib yang mengakibatkan rakyat Malaysia kini terpaksa menanggung hutang 1MDB sebanyak RM51.4 billion boleh dilepaskan tanpa menjalankan hukuman yang setimpal dengan kesalahan walaupun sudah didapati bersalah, ini bermakna kewibawaan sistem kehakiman negara ini telah digadai dan prinsip kedaulatan undang-undang sepertimana yang termaktub dalam Rukun Negara juga tidak lagi dihormati,” katanya menerusi hantaran tersebut.

Justeru, kata Nga, sekiranya keadaan sedemikian berlaku, beliau bersedia meletakkan jawatan sebagai anggota Jemaah Menteri demi mempertahankan integriti sistem kehakiman negara.

Dalam hantaran sama, Nga turut mengucapkan tahniah kepada Barisan Nasional (BN) atas kemenangan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 dan berkata proses demokrasi perlu dihormati oleh semua pihak.

Beliau berkata kemenangan majoriti dua pertiga itu merupakan satu amanah dan tanggungjawab besar yang perlu dipikul BN dengan penuh integriti.

Nga turut merakamkan penghargaan kepada semua pengundi yang menyokong Pakatan Harapan (PH) serta petugas dan sukarelawan yang bertungkus-lumus sepanjang pilihan raya, sambil menegaskan gabungan itu akan terus komited berkhidmat kepada rakyat dan negara.

Pada PRN Johor yang diadakan semalam BN menang 48 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dipertandingkan.

Sementara itu ketika ditemui pemberita selepas majlis penyerahan Bantuan Wang Ihsan kepada mangsa ribut Bercham, di Ipoh hari ini, Nga enggan mengulas mengenai kenyataannya sebelum ini berkait kesediaan meletakan jawatan.

Katanya fokus beliau adalah untuk terus berbakti kepada rakyat.

"Kita fokus kepada kesejahteraan rakyat. Hati saya memang bersama dengan rakyat. Saya boleh rasa keperitan dan kesusahan rakyat. Bila saya datang untuk bantu, elakkan semua isu ini (isu perletakan jawatan)," katanya.

Terdahulu Nga, yang juga Timbalan Pengerusi DAP menyampaikan bantuan wang ihsan berjumlah RM1juta kepada 554 keluarga yang terlibat dalam bencana ribut di Bercham pada 19 Jun lepas.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved