
KUALA LUMPUR - Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming menerima dengan hati terbuka teguran yang dibuat ke atasnya susulan kontroversi dengan seorang wartawan semasa program pra pelancaran ‘I Lite U’ baru-baru ini.
Menurut Kor Ming, beliau juga sedar kemungkinan wujudnya kekhilafan dalam perkara berkenaan dengan rendah hati sudi untuk berjumpa dengan pihak media yang terlibat dalam masa terdekat.
“Saya dengan rendah hati sudi untuk berjumpa dengan pihak media yang terlibat dalam masa terdekat supaya perkara ini dapat diselesaikan dengan baik dan teratur,’’ katanya.
“Selaku pemimpin saya ingin menegaskan bahawa saya sentiasa menghormati kebebasan media dan tidak pernah berniat untuk menyinggung mana-mana pihak terutama wartawan yang merupakan tunggak informasi Kerajaan Madani.
“Objektif saya hanyalah untuk bersama-sama membina sebuah Malaysia masyarakat berbilang kaum yang inklusif, progresif dan sentiasa mengangkat martabat negara di peringkat antarabangsa,’’ katanya dalam kenyataan hari ini.
Baru-baru ini ini, Nga Kor Ming terlibat dalam kontroversi selepas didakwa mengugut seorang wartawan yang bertanya mengenai penggunaan bahasa Inggeris bagi tema pelancongan dalam satu acara rasmi anjuran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
Kejadian itu berlaku apabila wartawan berkenaan bertanya mengapa tema projek tersebut menggunakan bahasa Inggeris dan bukan bahasa kebangsaan.
Susulan itu, Kor Ming menerima teguran ramai malah banyak pihak mencadangkan supaya beliau membuat permohonan maaf sebagai tanda kematangan berpolitik.
Dalam pada itu, Kor Ming memberitahu, beliau menghargai kehadiran serta sokongan media yang sentiasa memainkan peranan penting dalam menyampaikan inisiatif KPKT kepada rakyat. - 2 November, 2025
The post Nga Kor Ming ‘terima teguran dengan hati terbuka, sedia jumpa media terlibat’ appeared first on Scoop.

