
PETALING JAYA: Kemudahan akses pejalan kaki yang menghubungkan Stesen Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di Terminal Bersepadu Gombak dengan Stesen LRT Gombak dijangka siap sepenuhnya menjelang Mac 2027.
Malaysia Rail Link Sdn. Bhd. (MRL) berkata, sementara menunggu penyiapan jejantas pejalan kaki berbumbung itu, laluan sementara akan disediakan bagi membolehkan penumpang bergerak antara kedua-dua stesen apabila perkhidmatan ECRL bermula pada Disember 2026.
Menurut MRL, kemudahan akses pejalan kaki dan integrasi pengangkutan awam di Stesen ECRL Gombak sememangnya telah diambil kira dalam perancangan pembangunan projek berkenaan.
“Kami mengambil maklum kebimbangan orang ramai berhubung kemudahan pergerakan penumpang antara Stesen ECRL Gombak, Stesen LRT Gombak dan Terminal Bersepadu Gombak (TBG).
“Bagi memastikan kesalinghubungan antara kemudahan pengangkutan awam tersebut, sebuah jejantas pejalan kaki berbumbung sedang dilaksanakan untuk menghubungkan Stesen ECRL Gombak secara terus dengan Stesen LRT Gombak.
“Perancangan ini turut merangkumi sambungan jejantas ke TBG,” katanya dalam kenyataan.
MRL berkata, laluan sementara yang menggunakan kawasan sambungan sedia ada dan fasiliti Prasarana itu akan mengambil kira aspek keselamatan, keselesaan serta kemudahan pergerakan penumpang, termasuk mereka yang membawa bagasi.
Selain itu, MRL sedang mengadakan perbincangan dengan Prasarana berhubung cadangan menyediakan perkhidmatan bas ulang-alik antara kedua-dua stesen sebagai kemudahan tambahan kepada penumpang.
Langkah itu khususnya bertujuan membantu penumpang yang membawa bagasi ketika menggunakan kemudahan pengangkutan awam berkenaan.
Menurut MRL, penyediaan akses pejalan kaki itu merupakan sebahagian daripada usaha memastikan Stesen ECRL Gombak berfungsi sebagai hab pengangkutan awam yang berintegrasi dengan rangkaian rel dan pengangkutan sedia ada.
MRL turut memberi jaminan bahawa kemudahan akses sementara sedang diuruskan bagi memenuhi keperluan pergerakan penumpang apabila perkhidmatan ECRL mula beroperasi, sementara pembinaan jejantas kekal disiapkan secara berperingkat.-UTUSAN
The post Jejantas ECRL Gombak dijangka siap Mac 2027 appeared first on Utusan Malaysia.






