NGO zahir sokongan kepada Tuanku Muhriz, tuntut kestabilan politik

LocalPolitics
30 Apr 2026 • 4:48 PM MYT
Twentytwo13
Twentytwo13

Twentytwo13 brings you insights on issues that matter to the people.

SEREMBAN: Sembilan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) hari ini mengemukakan dua memorandum kepada pihak Istana Besar Negeri Sembilan bagi menzahirkan sokongan tidak berbelah bahagi terhadap Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.

Memorandum berkenaan diserahkan kepada Pengelola Bijaya Diraja Istana Negeri Sembilan, Datuk Azizi Mohamad Ali di hadapan Istana Hinggap Seremban, di sini.

Setiausaha Agung Sekretariat Gerak Gempur Media Sosial Rakyat (SEKPUR) yang bertindak sebagai penyelaras, Razali Zakaria berkata, penyerahan memorandum tersebut bertujuan menyatakan taat setia rakyat dalam mempertahankan kedaulatan institusi diraja serta kestabilan politik daripada sebarang gerakan yang boleh mencetuskan keresahan umum.

Menurut beliau, pihaknya memantau rapat cubaan pihak tertentu yang cuba mempertikaikan ketetapan Dewan Keadilan dan Undang Negeri Sembilan.

“Sebarang tindakan yang membelakangi keputusan Dewan Keadilan dan Undang adalah satu bentuk penderhakaan terhadap sistem Adat Perpatih yang menjadi teras keutuhan negeri ini.

“Kami mengecam sebarang naratif liar di media sosial yang cuba menggugat kedudukan DYMM Tuanku sebagai punca kedaulatan negeri,” katanya ketika ditemui pemberita.

Razali mendakwa wujud gerakan politik tidak bertanggungjawab yang cuba melakukan perubahan terhadap kepimpinan kerajaan negeri.

Tegas beliau, tindakan sedemikian bukan sahaja menghina mandat yang telah diberikan oleh rakyat, malah berisiko mengheret Negeri Sembilan ke kancah ketidakstabilan ekonomi ketika rakyat sedang bergelut dengan kos sara hidup yang mencabar.

“Sekretariat ini akan berusaha menggerakkan kesedaran rakyat dan memberikan jaminan kepada DYMM Tuanku untuk mematahkan segala propaganda yang cuba melaga-lagakan rakyat dengan pihak Istana.

“Kami akan terus memberikan kefahaman kepada rakyat jelata mengenai kepentingan mengekalkan Kerajaan Perpaduan demi kemakmuran bersama,” tambahnya lagi.

Lima NGO yang terlibat dalam solidariti tersebut ialah Pertubuhan Media Digital Malaysia (MEMO), SEKPUR, Pertubuhan Kebajikan Otai Reformis (PKORM), Pertubuhan Otai Madani Pulau Pinang dan Pertubuhan Otai Tenggiri.

Kumpulan yang sama kemudiannya bergerak menyerahkan satu lagi memorandum di Pejabat Menteri Besar Negeri Sembilan sebagai tanda sokongan kepada kepimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun.

Terdahulu pada sebelah pagi, empat NGO lain turut melakukan perkara yang sama.

NGO berkenaan ialah Pertubuhan Otai Reformasi Negeri Sembilan (PROFANS), Pertubuhan Sejarah dan Adat Perpatih Daerah Kuala Pilah, Pertubuhan Adab dan Budaya Mertang, serta Persatuan Kebajikan Insan DK.

Presiden PROFANS yang juga cicit kepada pahlawan terkenal Negeri Sembilan Datuk Siamang Gagap, Muhamad Kamel Yassin berkata, kemelut yang berlaku ketika ini perlu diselesaikan segera berpandukan adat yang telah sekian lama diamalkan.

Presiden PROFANS yang juga cicit kepada pahlawan terkenal Negeri Sembilan Datuk Siamang Gagap, Muhamad Kamel Yassin menyerahkan memorandum kepada Pengelola Bijaya Diraja Istana Negeri Sembilan, Datuk Azizi Mohamad Ali di perkarangan pintu masuk Istana Hinggap Seremban paga 30 April 2026.

Muhamad Kamel menyerahkan memorandum kepada Azizi di perkarangan pintu masuk Istana Hinggap Seremban.

Sebagai rakyat Negeri Sembilan katanya, pihaknya mengharapkan kemelut ini dapat diselesaikan secepat mungkin.

“Kemelut yang berlaku ini kecil, namun boleh menjadi rumit sekiranya tidak diselesaikan secara muafakat dan berlandaskan adat, tanpa diputarbelitkan oleh pihak berkepentingan,” kata Muhamad Kamel.

“Sekiranya rakyat tidak bersatu dalam berdepan kemelut berkenaan, ia ibarat seperti bendera Negeri Sembilan dikoyakkan.

“Warna kuning pada bendera merujuk kepada raja, warna merah rakyat manakala warna hitam adalah Undang. Kalau rakyat tidak bersama dalam menyelesaikan masalah ini, seolah-olah kita mengoyakkan bendera Negeri Sembilan dengan membuang warna merah. Ini menunjukkan kita sudah lagi tidak satu hati,” tambahnya lagi.

Perkembangan ini menyusul selepas Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Negeri Sembilan dilaporkan mengeluarkan surat arahan pengosongan serta-merta bagi kediaman rasmi dan Balai Undang Sungai Ujong di Ampangan, semalam.

Surat berkenaan dialamatkan kepada Setiausaha Sulit Undang Luak Sungai Ujong, Datuk Mubarak Dohak.

Menurut kandungan surat itu, keputusan tersebut dibuat selaras dengan ketetapan Sidang Khas Dewan Keadilan dan Undang (DKU) serta Dewan Undangan Negeri (DUN) bertarikh 17 April lalu.

Sebelum ini portal berita Twentytwo13 melaporkan pandangan pakar adat, Dr. Faizal Musa yang menyifatkan dakwaan wujudnya gerakan untuk ‘memecat’ Tuanku Muhriz sebagai Yang di-Pertuan Besar adalah tidak sah dari sudut undang-undang adat.

Felo Penyelidik Institut Alam dan Tamadun Melayu Universiti Kebangsaan Malaysia itu menegaskan bahawa sebarang proses untuk menurunkan seorang Yang di-Pertuan Besar mestilah jelas dan mengikut prosedur yang ditetapkan.

“Proses tidak dipenuhi, alasan tidak dijelaskan dan tidak ada bukti kukuh seperti ayam putih terbang siang,” katanya.

Beliau yang juga Felo Kanan Pelawat di ISEAS – Institut Yusof Ishak menambah, peruntukan di bawah undang-undang perlembagaan negeri juga tidak dipatuhi dalam isu berkenaan.

@twentytwo13news Patutkah Seri Menanti menyepi atau bersuara? Kami mendapatkan pandangan daripada pakar adat, Dr. Faizal Musa, yang merupakan Felo Penyelidik di Institut Alam dan Tamadun Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia mengenai situasi semasa di Negeri Sembilan. Baca selebihnya di twentytwo13.my #berita #twentytwo13 #negerisembilan #Malaysia ♬ original sound – Twentytwo13