Nicky Liow nafi ahli PKR, jelaskan baju AMK dipakai dibeli pada jualan amal

LocalPolitics
29 Jul 2026 • 5:41 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Nicky Liow nafi ahli PKR, jelaskan baju AMK dipakai dibeli pada jualan amal Image from: Nicky Liow nafi ahli PKR, jelaskan baju AMK dipakai dibeli pada jualan amal hamden29/07/2026 - 17:41 Datuk Seri Nicky Liow Soon Hee pada sidang media hari ini, 29 Julai 2026. - Gambar/ MalayMail

KUALA LUMPUR 29 Julai - Ahli perniagaan Datuk Seri Nicky Liow Soon Hee menafikan dakwaan beliau merupakan ahli PKR dan menegaskan gambar tular yang memaparkan dirinya bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak seharusnya dijadikan asas untuk membuat kesimpulan mengenai pendirian atau keahlian politiknya.

 

Dalam sidang media hari ini, Liow menjelaskan baju Angkatan Muda Keadilan (AMK) yang dipakainya ketika menghadiri satu program sebelum ini dibeli menerusi jualan amal kutipan dana dan bukan bukti beliau menyertai parti berkenaan.

 

"Membeli dan memakai baju yang dijual pada program kutipan dana terbuka tidak sepatutnya ditafsirkan sebagai menyertai sesebuah parti politik atau dijadikan asas untuk membuat kesimpulan mengenai identiti politik seseorang," katanya.

 

Beliau berkata kehadirannya pada program tersebut adalah sebagai orang awam dan menolak dakwaan bahawa beliau menerima layanan istimewa atau mempunyai hubungan politik seperti yang didakwa sesetengah pihak.

 

"Jika sekeping gambar yang diambil pada program awam sudah cukup untuk membuat andaian seseorang mempunyai hubungan politik atau menerima layanan istimewa, maka andaian itu adalah tidak adil dan bercanggah dengan fakta," katanya lapor MalayMail.

 

Kontroversi berhubung gambar tersebut tercetus selepas beberapa Ahli Parlimen mempersoalkan bagaimana Liow, yang sebelum ini berdepan pertuduhan berkaitan sindiket jenayah terancang dikenali sebagai "Geng Nicky" serta pengubahan wang haram, boleh berada berhampiran Perdana Menteri.

 

Ahli Parlimen Petaling Jaya, Lee Chean Chung mempersoalkan bagaimana Liow didakwa memperoleh akses ke sebuah bilik tertutup untuk bertemu Anwar, manakala Ahli Parlimen Subang, Wong Chen turut mempersoalkan siapa yang menjemput ahli perniagaan itu dan bagaimana beliau boleh berada begitu hampir dengan Perdana Menteri.

 

Susulan kontroversi itu, Setiausaha Agung PKR, Datuk Dr Fuziah Salleh menjelaskan bahawa semakan melalui sistem keahlian parti mengesahkan Liow bukan ahli PKR dan tidak pernah mengemukakan permohonan untuk menyertai parti berkenaan.

 

Pertimbang Tindakan Undang-Undang

Dalam pada itu, Liow berkata beliau sedang mempertimbangkan tindakan undang-undang bagi melindungi reputasi peribadi serta perniagaannya daripada dakwaan yang disifatkan tidak berasas.

 

Beliau menegaskan Ahli Parlimen mempunyai hak untuk mempersoalkan kerajaan, namun setiap kenyataan perlu berasaskan fakta yang disahkan dan bukannya andaian.

 

"Kebebasan bersuara bukan bermaksud kebebasan untuk membuat tuduhan tanpa asas. Kritikan awam perlu disokong oleh fakta dan bukti, bukannya spekulasi atau andaian politik.

 

"Sekiranya mana-mana pihak terus menyebarkan dakwaan palsu atau kenyataan berunsur fitnah yang menjejaskan reputasi peribadi atau perniagaan saya, saya berhak mengambil tindakan undang-undang bagi melindungi kepentingan saya," katanya.

 

Liow turut berharap Lee membuat permohonan maaf secara terbuka sekiranya kenyataan atau tafsiran yang dibuat berdasarkan gambar tular itu didapati telah menjejaskan reputasinya.

 

Beliau turut mencabar mana-mana pihak yang mendakwa beliau menyertai parti politik atau menerima layanan istimewa supaya mengemukakan bukti bagi menyokong dakwaan tersebut. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved