Nik Nazmi, Akmal, Chean Chung sah tewas pemilihan Cabang PKR, rayuan ditolak: JPP

LocalPolitics
5 May 2025 • 5:09 PM MYT
Scoop.my
Scoop.my

News You Can Use, Investigative Reports, Sports, Videos, and Analysis

image is not available

KUALA LUMPUR - Beberapa nama besar PKR yang mengemukakan rayuan selepas gagal pada pemilihan peringkat Cabang parti baru-baru ini, disahkan tewas.

Ia berdasarkan keputusan muktamad yang disiarkan PKR di laman web parti itu, hari ini.

Naib Presiden PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad gagal mempertahankan jawatan Ketua Cabang Setiawangsa, selepas tewas kepada pengarah dan pelakon, Datuk Afdlin Shauki.

Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Akmal Nasrullah Mohd Nasir, juga disahkan gagal mempertahankan jawatan Ketua Cabang Johor Bahru selepas tewas kepada Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Johor, Mohamad Taufiq Ismail.

Pengarah Komunikasi PKR, Lee Chean Chung gagal merebut jawatan Ketua Cabang Petaling Jaya, selepas tewas kepada penyandang jawatan, Hee Loy Sian.

Nasib sama turut dialami Ahli Parlimen Sungai Siput, S Kesavan, yang disahkan tewas kepada pencabarnya, K Novinthen dalam perebutan jawatan Ketua Cabang Sungai Siput.

Sebelum ini, Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) PKR menerima sejumlah bantahan dan rayuan daripada ahli yang tidak berpuas hati dengan keputusan pemilihan di peringkat Cabang, termasuk daripada nama besar parti, seperti Nik Nazmi dan Akmal Nasrullah.

JPP kemudian memutuskan mengadakan pemilihan semula bagi empat Cabang, membabitkan Cabang Selayang, Jempol, Silam dan Pasir Salak, yang berlangsung pada Khamis lalu.

Sementara itu, Setiausaha Agung PKR, Dr Fuziah Salleh, berkata keputusan muktamad Pemilihan 2025 peringkat cabang itu dipamerkan selepas Majlis Pimpinan Pusat (MPP) yang bermesyuarat petang semalam, mendengar pembentangan JPP dan laporan Juru Audit Digital Antarabangsa pihak ketiga, dan berpuas hati mengesahkan keputusan.

Beliau turut memaklumkan, Kongres Tahunan PKR bagi 2024 dan 2025 yang akan berlangsung di Johor Bahru pada 22 hingga 24 Mei ini, dijangka menarik perhatian melalui pelaksanaan Sistem Perwakilan yang berpaksikan kepada konsep representasi berkadar mengikut sokongan (Proportionate Representation).

Melalui sistem itu, calon Ketua Cabang yang tewas juga akan layak menghantar perwakilan ke Kongres apabila mereka boleh menamakan senarai perwakilan, yang mana jumlahnya akan mengikut kadar peratus undi yang diterima mereka di pemilihan peringkat cabang tempoh hari.

"Prinsip yang menang tidak menang semua dan yang kalah tidak kalah semua akan menyemarakkan lagi proses demokrasi di Pemilihan 2025 sewaktu Kongres kali ini," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Bagi memastikan pengurusan yang teliti menjelang persiapan Kongres, Fuziah berkata, Jelajah Pra Kongres ke seluruh negara akan digerakkan ibu pejabat supaya perwakilan menerima maklumat tepat dan komprehensif. - 5 Mei, 2025