Nik Nazmi direhatkan tiga bulan - Bersama

LocalPolitics
17 Oct 2026 • 4:33 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Nik Nazmi direhatkan tiga bulan - Bersama
Nik Nazmi

SHAH ALAM - Parti Bersama Malaysia (Bersama) membuat keputusan merehatkan Nik Nazmi Nik Ahmad daripada menyertai semua aktiviti rasmi parti selama tiga bulan berkuat kuasa dari 20 Oktober hingga 19 Januari 2027.

Presiden Bersama, Syukri Razab berkata, pihaknya berpendirian bahawa keputusan itu adalah perlu dan munasabah.

Menurut beliau, Bersama bagaimanapun tidak menafikan segala sumbangan dan komitmen Nik Nazmi terhadap perjuangan parti sejak ia dilancarkan semula pada Mei lalu.

"Bersama mengambil maklum kenyataan dan pengakuan Nik Nazmi berhubung penglibatannya dalam satu kes yang tersebar baru-baru ini.

"Kami memandang serius perkembangan tersebut selain berpendirian bahawa setiap isu yang melibatkan kepimpinan dan anggota Bersama mesti ditangani sewajarnya demi memelihara integriti, kredibiliti serta keyakinan masyarakat terhadap parti.

"Sehubungan itu, Bersama memutuskan untuk merehatkan Nik Nazmi daripada semua aktiviti rasmi parti selama tiga bulan," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Sebelum ini, Nik Nazmi mengesahkan dirinya ialah salah seorang daripada dua individu yang ditahan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dalam insiden tangkap khalwat di Petaling Jaya pada Khamis lepas.

Sambil menjelaskan keadaan sebenar, beliau bersama rakan-rakannya memulakan perbincangan di sebuah studio di Brickfields, Kuala Lumpur sebelum memutuskan untuk meneruskannya di Petaling Jaya bagi melihat beberapa bahan berkaitan projek.

Beliau mengakui ketika pegawai JAIS tiba, hanya dirinya dan wanita terbabit yang ada di dalam premis berkenaan.

Namun, bekas Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu menegaskan tiada tindakan sumbang yang menimbulkan syak wasangka terjadi.

Nik Nazmi bagaimanapun enggan memanjangkan isu berkenaan, sebaliknya sedia menerima apa jua keputusan Bersama selain memberikan kerjasama bagi sebarang proses perundangan.

 

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved