
SONGKHLA, Thailand – Pasangan Malaysia yang mahu bernikah di Selatan Thailand dinasihatkan supaya tidak menyerahkan bulat-bulat urusan perjalanan kepada ejen kerana ada yang mengambil kesempatan membawa mereka melalui laluan tidak sah.
Konsul Jeneral Malaysia di Songkhla, Ahmad Fahmi Ahmad Sarkawi berkata, pasangan terbabit perlu memastikan mereka merentasi sempadan melalui pintu masuk yang sah dengan menggunakan pasport atau pas sempadan.
“Jika pasangan Malaysia melakukan pernikahan tetapi merentasi sempadan bukan melalui laluan sah, pihak konsulat tidak dapat mengeluarkan surat pengesahan pernikahan.
“Ini kerana mereka telah melakukan kesalahan imigresen Thailand dengan memasuki negara ini secara tidak sah,” katanya semasa sidang akhbar di Konsulat Jeneral Malaysia di Songkhla ketika kunjungan hormat Persatuan Wartawan Perlis (PWP) ke Konsulat Jeneral Malaysia di Songkhla di sini kelmarin.
Menurutnya, terdapat pasangan yang terlalu bergantung kepada ejen sehingga tidak menyemak sendiri laluan dan prosedur sebenar kemasukan ke Thailand.
Katanya, ada ejen yang membawa pasangan melalui lorong tikus selain menyeberangi Sungai Golok menggunakan perahu sebelum kembali semula ke Malaysia melalui laluan tidak sah.
“Walaupun kita menyerahkan tanggungjawab kepada ejen, kita sendiri perlu pastikan bagaimana prosedur sebenar untuk masuk ke negara asing. Jangan hanya menganggap ejen tahu semuanya kerana akhirnya pasangan itu sendiri yang akan berdepan masalah jika kemasukan mereka tidak sah,” katanya. – KOSMO! ONLINE
The post Nikah Thailand: Tiada pengesahan jika guna laluan haram appeared first on Kosmo Online.






