
BERMULA sekadar ingin mencuba gerakan tarian menggunakan kasut roda, Nikki Moore tidak menyangka minat itu akan membawanya lebih jauh.
Minat tersebut membuka peluang untuknya menyertai pertandingan dan mengenali komuniti peluncur yang kini menjadi sebahagian daripada kehidupannya.
Menurut wanita berusia 27 tahun itu, segalanya bermula apabila dia dan sahabat baiknya, Jory mengetahui bahawa kasut roda juga boleh digunakan untuk melakukan aksi di taman papan selaju.
“Pada mulanya, saya dan Jory hanya mahu belajar menari menggunakan kasut roda dan mencuba gerakan menarik sambil meluncur di taman.
“Namun, selepas mengetahui kami juga boleh melakukan aksi menggunakan kasut roda di taman papan selaju, minat kami berubah dan kami mula menghabiskan kebanyakan masa di sana,” katanya.
Bagi wanita dari Montreal, Kanada itu, tempoh dua tahun sejak mula bermain kasut roda terasa begitu singkat, sedangkan hobi tersebut telah banyak mengubah kehidupannya.
Minat itu turut mendorong Nikki mendekati komuniti roller skating yang merangkumi pelbagai cabang termasuk tarian kasut roda, roller derby, aktiviti meluncur pada waktu malam dan aksi di taman papan selaju.
Walaupun komuniti peluncur di taman papan selaju tidak begitu besar, Nikki melihat keadaan itu sebagai satu kelebihan kerana hubungan antara ahlinya lebih rapat.
“Peluncur saling mengenali dan sentiasa terbuka menerima mereka yang baru berjinak-jinak dengan aktiviti ini.
“Montreal Cup 2023 merupakan pertandingan pertama yang saya sertai. Pada mulanya, saya agak keberatan untuk bertanding, tetapi pengalaman itu mengubah hubungan saya dengan sukan ini.
“Saya bukan sahaja berpeluang menguji kemampuan diri, malah dapat mengenali lebih ramai peluncur dan menjadi lebih rapat dengan komuniti,” katanya.
Selain aktif dalam komuniti peluncur di Montreal, minat Nikki terhadap kasut roda turut membawanya meneroka lokasi baharu di Eropah.

Sebagai pelajar doktor falsafah (PhD), dia kerap berkunjung ke Montpellier, Perancis, untuk bekerjasama dengan penyelidik.
Perjalanan ke Eropah pada Mei 2024 menjadi lebih istimewa apabila dia berpeluang menggabungkan urusan akademik dengan minatnya terhadap roller skating.
Ketika berkunjung ke Barcelona sebelum itu, Nikki berkenalan dengan Amanda, seorang peluncur yang turut aktif menganjurkan acara untuk komuniti setempat.
Pertemuan tersebut mencetuskan idea untuk mereka mengadakan perjalanan bersama bagi meneroka lokasi meluncur di beberapa bandar Eropah.
Idea itu akhirnya menjadi kenyataan apabila mereka meluangkan kira-kira seminggu untuk mengunjungi Barcelona, Montpellier dan Marseille.
Sepanjang perjalanan, mereka turut merakam aksi di beberapa lokasi untuk menghasilkan video kasut roda pertama Nikki.
“Antara pengalaman yang paling saya ingati ialah ketika menghabiskan masa bersama rakan-rakan Amanda di taman papan selaju Agora di Barcelona.
“Taman itu terletak berhampiran Laut Mediterranean dan dikelilingi pokok palma, malah mempunyai kelab pantai di dalamnya.
“Suasananya benar-benar seperti yang saya bayangkan tentang Barcelona. Itulah tempat paling indah yang pernah saya kunjungi untuk bermain kasut roda,” katanya.
The post Nikki hubungkan kasut roda dengan akademik appeared first on Kosmo Online.

