Nilai bekas ibu pejabat Maybank diunjur cecah RM780 juta, kata firma penilaian hartanah

LocalBusiness & Finance
16 Nov 2026 • 9:20 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Nilai bekas ibu pejabat Maybank diunjur cecah RM780 juta, kata firma penilaian hartanah Image from: Nilai bekas ibu pejabat Maybank diunjur cecah RM780 juta, kata firma penilaian hartanah amree16/11/2026 - 09:20 Gambar hiasan Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 16 Nov — Bekas ibu pejabat Maybank, Menara Tun Perak yang mempunyai nilai buku hanya RM65.87 juta, diunjur mencatat nilai pasaran antara RM500 juta hingga RM780 juta, susulan lokasi strategik di pusat bandar raya Kuala Lumpur serta potensi pembangunan semula hartanah berkenaan.

 

Bangunan setinggi 55 tingkat yang sebelum ini dikenali sebagai Menara Maybank itu dikatakan mampu menarik harga jauh lebih tinggi daripada nilai buku berdasarkan keluasan tanah pegangan bebas, saiz bangunan dan peluang untuk menempatkan semula aset berkenaan sebagai destinasi komersial baharu.

 

Menurut laporan Business Times, Menara Tun Perak mempunyai keluasan tanah pegangan bebas kira-kira 3.2 hektar, dengan keluasan lantai kasar sekitar 0.22 juta meter persegi dan keluasan boleh disewakan bersih (NLA) mencecah kira-kira 0.1 juta meter persegi.

 

Maybank sebelum ini menggunakan sebahagian besar bangunan itu sebagai ibu pejabat korporat sebelum berpindah ke Menara Merdeka Maybank; yang asalnya dikenali sebagai Menara Merdeka 118, sekali gus menjadikan hartanah berkenaan tersedia untuk dijual dengan milikan kosong.

 

Knight Frank dan CBRE | WTW dilantik sebagai ejen pemasaran eksklusif bersama bagi mengendalikan proses penawaran minat (EOI) kompetitif dua peringkat, dengan penyerahan cadangan tidak mengikat bagi peringkat pertama ditutup pada 27 November ini.

 

"Pembida yang disenarai pendek akan dijemput firma tersebut untuk mengemukakan surat tawaran secara mengikat bersama-sama dengan deposit bidaan RM5 juta dalam tempoh enam minggu selepas menerima jemputan ke peringkat kedua," lapor akhbar berkenaan.

 

Maybank_DagangNews2026

 

Pengarah Eksekutif Pasaran Modal (Pelaburan) Knight Frank, James Buckley berkata, perbezaan antara nilai buku RM65.87 juta dengan potensi nilai pasaran perlu dinilai berdasarkan keseluruhan aset termasuk bangunan sedia ada, tanah dan peluang pembangunan masa depan.

 

Katanya, pembeli berpotensi akan menilai keupayaan menjana pendapatan sewaan, lokasi strategik serta kira-kira 1.16 ekar tanah yang dikenal pasti mempunyai potensi pembangunan tambahan, selain peluang menaik taraf, menukar fungsi atau membangunkan semula hartanah itu.

 

Beliau berkata, antara konsep yang boleh dipertimbangkan ialah pembangunan guna campuran merangkumi ruang pejabat moden, ruang kerja fleksibel, hospitaliti, kediaman berjenama, peruncitan, restoran serta kemudahan gaya hidup dan acara, tertakluk kelulusan pihak berkuasa.

 

Bagaimanapun Buckley berkata, tiada angka muktamad kos pembangunan atau naik taraf boleh ditetapkan sebelum pembeli melaksanakan penilaian teknikal terperinci meliputi struktur, sistem mekanikal dan elektrikal, keselamatan kebakaran, lif serta keadaan keseluruhan bangunan.

 

Sementara itu, pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Olive Tree Property Consultants, Samuel Tan berkata, dua transaksi hartanah berhampiran boleh dijadikan petunjuk awal bagi menilai potensi harga Menara Tun Perak, iaitu bekas Bangunan HSBC di Lebuh Ampang pada kira-kira RM517 sekaki persegi dan Menara Haw Par di Jalan Sultan Ismail pada sekitar RM717 sekaki persegi.

 

Berdasarkan penanda aras berkenaan dan keluasan NLA Menara Tun Perak sebanyak 0.1 juta meter persegi, nilai indikatif hartanah itu dianggarkan sekitar RM563.5 juta hingga RM781.5 juta, meskipun perbandingan tersebut perlu mengambil kira perbezaan spesifikasi bangunan, pegangan tanah, kadar penghunian dan kaedah penilaian.

 

Tan berkata, nilai akhir hartanah itu banyak bergantung kepada strategi pembeli, sama ada mahu menjana pendapatan sewaan melalui pelaburan jangka panjang atau mengambil pendekatan pembangunan semula yang memerlukan perbelanjaan modal lebih besar. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved