
SHAH ALAM, 13 OGOS: Nilai pelaburan di Selangor Aero Park @KLIA Aeropolis (SAP) dijangka mencecah RM1 bilion pada 2027, didorong perkembangan sektor aeroangkasa serta minat syarikat tempatan dan antarabangsa untuk melabur di kawasan tersebut.
EXCO Pelaburan Ng Sze Han berkata perkembangan itu selari dengan kemajuan pembangunan SAP yang terus menarik minat pelabur dalam pelbagai segmen industri aeroangkasa termasuk penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO), pembuatan, logistik dan kargo udara serta penyelidikan dan pembangunan (R&D).
"Berdasarkan kemajuan semasa, nilai pelaburan yang dijangka dapat direalisasikan pada 2027 dianggarkan mencecah RM1 bilion.
"Kerajaan Negeri menjangkakan momentum pelaburan terus meningkat sejajar dengan pemulihan kestabilan geopolitik global serta pertumbuhan berterusan industri aeroangkasa serantau," katanya.
Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan Ahli Dewan Negeri (ADN) Balakong Ong Chun Wei mengenai kemajuan terkini pembinaan SAP di KLIA Aeropolis serta unjuran potensi pelaburan menjelang 2027.
Mengulas kemajuan projek, Sze Han berkata sehingga 20 Julai lalu, kerja tanah bagi fasa pertama seluas 200 ekar telah siap sepenuhnya manakala pembangunan infrastruktur mencapai 48 peratus.
"Pembangunan infrastruktur bagi kawasan seluas 200 ekar itu dijangka siap sepenuhnya menjelang suku kedua 2027.
"Daripada jumlah itu, 100 ekar diperuntukkan kepada GE Aerospace bagi pembangunan fasiliti penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih enjin pesawat (MRO)," ujarnya.
Menurutnya, baki 100 ekar kini dalam fasa rundingan teknikal dan komersial bersama beberapa pemain industri aeroangkasa berpotensi.
Kawasan itu katanya turut merangkumi plot yang dicadangkan bagi pembangunan Kuarters Pekerja Berpusat (CLQ) serta lot komersial bagi menyokong ekosistem SAP.
"Kerja tanah dan pembangunan infrastruktur bagi fasa seterusnya akan dilaksanakan secara berperingkat, tertakluk kepada permintaan pasaran serta komitmen pelaburan daripada bakal penyewa dan pelabur," katanya.
Pada masa sama, Sze Han berkata Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI bersama Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) sedang mengadakan perbincangan teknikal dan komersial dengan syarikat yang berminat untuk beroperasi di SAP.
"Industri aeroangkasa mempunyai keperluan teknikal dan kawal selia yang tinggi. Justeru, proses memuktamadkan pelaburan atau perjanjian antara pelabur dan pemilik aset lazimnya mengambil masa sekitar dua hingga tiga tahun.
"Pelaburan ini dijangka menjana peluang pekerjaan berkemahiran tinggi, selain mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai hab aeroangkasa serantau," katanya.



