johardy13/08/2026 - 15:00 PUTRAJAYA 13 Ogos - Penang International Logistics Aeropark (PILA) dijangka meningkatkan dengan ketara kemudahan dan kapasiti kargo udara di wilayah utara Malaysia, kata Menteri Pengangkutan, Anthony Loke.
Beliau berkata projek itu yang merupakan peluasan hab kargo udara Pulau Pinang sedia ada akan menyediakan kapasiti jauh lebih besar dan mengukuhkan peranan wilayah berkenaan sebagai pusat logistik udara.
“Ini merupakan satu peluasan, peluasan selanjutnya untuk menjadikannya Kompleks Logistik Udara Pulau Pinang. Ia akan menjadi jauh lebih besar dengan kapasiti yang meningkat dan ini pastinya akan memperkukuh kemudahan kargo udara kita di wilayah utara,” katanya kepada media selepas Perhimpunan Bulanan Kementerian Pengangkutan di sini hari ini.
Loke berkata pembinaan projek yang dilaksanakan oleh Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) dengan kerjasama Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) sudah bermula dan projek itu akan dilancarkan tidak lama lagi.
“Kami telah menjemput Perdana Menteri untuk melancarkan projek antara MAHB dan PDC ini. Ia terletak bersebelahan hab kargo Pulau Pinang sedia ada,” katanya.
Beliau berkata pembangunan itu adalah sebahagian daripada rancangan MAHB untuk menaik taraf kemudahan kargo udaranya bukan sahaja di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), malah di Pulau Pinang.
Pelaburan diterajui sektor swasta
“Setakat yang kami maklum, MAHB mempunyai banyak rancangan untuk menaik taraf kemudahan kargo udaranya bukan sahaja di KLIA tetapi juga di Pulau Pinang. Pulau Pinang akan menjadi satu projek utama. Hab kargo udara sedia ada akan diperluaskan.
“Semua pelaburan dalam hab kargo udara akan dilakukan oleh MAHB, bukannya kerajaan secara langsung. Sudah tentu kami akan memudah cara,” katanya.
Projek PILA merupakan pelaburan diterajui sektor swasta oleh MAHB dengan kerajaan memudah cara pelaksanaannya melalui kerjasama dengan PDC.
Pendekatan itu sejajar dengan usaha kerajaan yang lebih luas di bawah PILA untuk menggalakkan penyertaan dan pelaburan sektor swasta dalam infrastruktur strategik.
Pada Mei lalu, dilaporkan bahawa Lembaga Pengarah PDC dan MAHB telah meluluskan penubuhan syarikat usaha sama, PILA Sdn Bhd, dengan perjanjian berkenaan ditandatangani pada 13 April 2026.
Fasa pertama projek itu melibatkan pembinaan sebuah bangunan gudang kargo udara baharu bertaraf zon perdagangan bebas yang dijangka siap dan mula beroperasi menjelang 2029.
Pembangunan PILA dijangka mampu menampung kapasiti kargo sehingga 500,000 tan setahun menjelang 2050, dengan ruang gudang melebihi **dua juta kaki persegi**. — BERNAMA


