
PUTRAJAYA: Projek pengembangan hab kargo udara di Pulau Pinang di bawah Penang International Logistics Aeropark (PILA) bakal diperluaskan bagi meningkatkan kapasiti logistik udara di wilayah utara.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, projek itu kini sedang dilaksanakan oleh Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) dengan kerjasama Penang Development Corporation (PDC), termasuk pembinaan kompleks logistik baharu bersebelahan hab kargo sedia ada.
Beliau berkata, pembangunan itu akan memperluaskan kapasiti kemudahan kargo udara Pulau Pinang sekali gus menjadikannya sebuah kompleks logistik udara yang lebih besar dan berkeupayaan tinggi.
“MAHB mempunyai banyak rancangan untuk menaik taraf kemudahan kargo udara bukan sahaja di KLIA tetapi juga di Pulau Pinang.
“Pulau Pinang akan menjadi antara projek utama kerana akan berlaku pengembangan hab kargo udara sedia ada,” katanya dalam sidang akhbar selepas majlis perhimpunan bulanan MoT di sini hari ini.
Katanya, pembinaan hab logistik berkenaan kini sedang dijalankan, manakala pelancaran rasmi projek itu akan diadakan dalam masa terdekat.
Loke berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim juga telah dijemput untuk melancarkan projek kerjasama antara MAHB dan PDC berkenaan.
Katanya, pembangunan berkenaan turut menunjukkan komitmen kerajaan untuk memperkukuh rangkaian logistik udara negara di luar Lembah Klang, khususnya bagi memenuhi keperluan perdagangan dan industri di wilayah utara. – UTUSAN
The post PILA perkasa hab kargo udara Pulau Pinang, utara tanah air appeared first on Utusan Malaysia.






