Nintendo Switch 2 Akan Dijual Di Malaysia Pada 3 Julai

TechnologyGamingDigital
19 Jun 2025 • 11:40 AM MYT
Amanz
Amanz

Amanz merupakan laman berita dunia teknologi serta ulasan peranti terkini.

Adakah anda bersedia untuk memiliki Nintendo Switch 2. Sekiranya ya sila tandakan 3 Julai di dalam kalender kerana Nintendo Malaysia mengesahkan ini adalah tarikh jualan akan dibuka di Malaysia. Konsol mudah alih ini memasuki pasaran Malaysia secara rasmi seminggu selepas ia ditawarkan di Singapura, Thailand dan Filipina yang akan menerimanya pada 26 Jun depan. Walaupun lewat seminggu, ia masih jauh lebih baik berbanding jadual asal ia tiba antara Julai dan September.

image is not available

Nintendo Switch 2 hadir dengan skrin 7.9″ LCD dengan resolusi 1080p 120Hz, dijana cip khas NVIDIA yang menyokong DLSS dan Ray Tracing, storan 256GB, dan terdapat dermaga yang boleh meningkatkan paparan ke resolusi 4K apabila disambung kepada TV. Penambahbaikan lain ialah Joy Con yang disambung menggunakan magnet serta boleh digunakan seperti sebuah tetikus.

Walaupun jualan akan dibuka 3 Julai, laman Nintendo Malaysia masih belum menyenaraikan harga jualannya di Malaysia. Sungguhpun begitu sebuah stor di Malaysia menyenaraikan satu set Switch 2 pada harga RM 2488 sementara set Switch 2 dengan berkas Mario Kart World pula pada harga RM 2688. Kedua-dua set hadir dengan jaminan rasmi Nintendo Malaysia selama setahun.

image is not available

Pada ketika in Switch 2 telah terjual lebih 3.5 juta unit selepas hanya empat hari dilancarkan sekaligus menjadikannya konsol yang terpantas berjaya mencapai angka jualan ini dalam sejarah.