Konsol permainan video mudah-alih Nintendo Switch baru-baru ini telah menerima sejumlah kemaskini baru yang memperlihatkan beberapa ciri baru, tetapi satu kemaskini dilihat lebih penting daripada yang lain, iaitu satu ciri baru yang dinamakan Handheld Mode Boost.
Dengan ciri ini, pemilik-pemilik konsol Nintendo Switch 2 boleh memainkan permainan Nintendo Switch asal pada resolusi dan kadar segar semula lebih tinggi (Full HD, 60FPS), bagai jika konsol asal tersebut digunakan dalam TV Mode.
Ciri ini membolehkan permainan-permainan Nintendo Switch asal memperlihatkan peningkatan dari segi prestasi grafik dan kelancaran permainan, tetapi tanpa isu ia perlu ditambatkan kepada televisyen di ruang tamu pengguna.

Akan tetapi ciri Handheld Mode Boost ini hadir dengan satu kekurangan yang agak ketara, iaitu ciri sesentuh paparan skrin konsol akan dimatikan didalam mod ini, menukar alat kawalan Switch 2 sebagai sebuah alat kawalan Pro Controller.
Ini akan menyebabkan sejumlah permainan Nintendo Switch tidak boleh digunakan dengan baik didalam mod ini kerana sejumlah input permainan-permainan video ini memerlukan paparan skrin sesentuh. Nintendo belum mengesahkan permainan-permainan yang terkesan dengan mod ini, tetapi sejumlah permainan seperti Super Mario Maker 2, Pokémon: Let’s Go, Pikachu! / Eevee!, Super Mario 3D All-Stars, The Legend of Zelda: Skyward Sword HD, Clubhouse Games, Taiko no Tatsujin: Drum ’n’ Fun!, dan Pikmin 1+2 tidak disokong dalam mod Handheld Boost buat masa ini..
Dalam pada itu, kemaskini ini (ver 22.0.0) juga mengenaskini mod penerbangan pada konsol ini, dengan membolehkan pengguna untuk mengubahsuai tetapan secara lebih tersuai, dengan pilihan untuk mengaktifkan hanya mod WiFi ataupun Bluetooth sahaja dengan lebih cepat melalui menu Quick Settings.

