
Google hari ini secara rasminya telah memperkenalkan telefon pintar Pixel 10A – iaitu peranti asas dalam siri keluarga Pixel 10. Peranti ini hadir dengan sokongan kemaskini Android selama tujuh tahun terus daripada Google, dan ia turut akan menerima beberapa ciri eksklusif Pixel. Menariknya, berbeza dengan sejumlah peranti lain di pasaran, Pixel 10A turut hadir dengan rekaan tanpa bonggol kamera, membolehkan ia diletakkan mendatar atas meja tanpa masalah.

Pixel 10A hadir dengan skrin bersaiz 6.3-inci yang membawakan resolusi FHD+, dilengkapi panel OLED dengan kadar segar semula 120Hz. Ia turut dikuasakan dengan cip Google Tensor G4 seperti pada Pixel 9A sebelum ini, selain diperkukuhkan lagi dengan cip sekuriti Titan M2.
Melengkapkan telefon ini adalah memori 8GB LPDDR5X RAM dengan storan sehingga 256GB (UFS 3.1). Pada bahagian kamera, Google menyertakan kamera utama 48-megapixel yang dipadankan bersama kamera ultra-lebar 13MP. Untuk swafoto, ia turut menyertakan kamera hadapan 13MP dengan sokongan rakaman sehingga 4K 30fps.
Telefon pintar ini hadir dengan sokongan kalis air, dilengkapi pengimbas cap hari pada skrin, serta menyertakan sokongan NFC. Menguasakannya adalah bateri 5100mAh dengan pengecasan 30W berwayar.
Beberapa penjual dijangka menawarkannya di Malaysia, dan kita akan mengetahui harga jualan tempatannya dalam masa terdekat ini.
