
KLANG – Meskipun kerap diserbu, Plaza Tol Bukit Raja, Lebuh Raya Utara-Klang Valley (NKVE) di sini masih ‘meriah’ dengan aksi samseng jalanan.
Kegiatan itu sekali lagi digempur menerusi Operasi Tutup Samseng Jalanan bermula pukul 3 pagi tadi, menyaksikan 50 motosikal disita manakala 146 individu berusia 16 hingga 25 tahun diperiksa.
Menurut Polis Selangor, hasil pemeriksaan itu turut membawa kepada pengeluaran 92 saman oleh Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor dan 24 saman oleh Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman.
“Manakala sebanyak 50 buah motosikal telah disita bagi tindakan lanjut,” katanya menerusi Facebook rasmi Polis Selangor hari ini.
Menurutnya, operasi berkenaan dilaksanakan secara berterusan bagi membanteras aktiviti samseng jalanan selain memastikan keselamatan, ketenteraman dan pematuhan undang-undang jalan raya sentiasa berada pada tahap terbaik.
Operasi tersebut turut disertai Timbalan Ketua Polis Selangor, Deputi Komisioner Mohd. Zaini Abu Hassan bersama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK).
Dalam operasi sama, AADK turut menjalankan 22 pemeriksaan saringan air kencing secara rambang membabitkan 17 lelaki dan lima wanita.
“Namun, tiada tangkapan melibatkan individu yang positif dadah,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE
The post NKVE digempur lagi, 50 motosikal disita appeared first on Kosmo Online.






