
Penduduk Putrajaya boleh menarik nafas lega apabila polis mengambil tindakan terhadap aktiviti samseng jalanan, lumba haram dan gangguan bunyi bising menerusi Ops Bersepadu Samseng Jalanan di sekitar Lebuh Sentosa.
Menerusi kenyataan IPD Putrajaya, operasi Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) IPD Putrajaya itu dijalankan dari 11 malam, 5 September hingga 8 pagi, 6 September 2026, membabitkan laluan dari KM2.9 hingga KM4.0.
Dalam operasi itu, lima motosikal ditemukan ditinggalkan penunggang di bawah jejambat Lebuh Wawasan sebelum dibawa ke balai untuk tindakan lanjut.
“Hasil operasi, 14 kenderaan terdiri daripada 13 motosikal dan sebuah kereta disita mengikut Seksyen 64(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. Sebanyak 35 saman Pol. 257 turut dikeluarkan. Tiada tangkapan dibuat,” katanya.
Dalam pada itu, operasi turut disusuli dengan pengisian kerohanian melalui solat subuh secara berjemaah serta sesi advokasi berkaitan bahaya lumba haram dan samseng jalanan.
“Pendekatan ini dilaksanakan sebagai usaha memberi kesedaran kepada anggota serta masyarakat, khususnya golongan muda, agar tidak terlibat dalam aktiviti yang boleh membahayakan diri sendiri dan pengguna jalan raya yang lain,” menurut kenyataan itu.
Baca juga:
Tun M jelaskan sebab hadir sambutan Hari Kebangsaan
‘Terima kasih angkat bendera ASEAN’- Media Filipina kagum kejayaan Taanusiya
‘Kenapa tiba-tiba melatah?’ – Fadhli Shaari persoal tindakan PH
Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Dr Mohd Radzi Jidin menerusi hantaran di media social mengucapkan terima kasih kepada IPD Putrajaya atas tindakan berkenaan, selain menyifatkan gangguan bunyi bising dan aktiviti berbahaya di jalan raya sebagai antara aduan yang sering disuarakan penduduk.
Beliau berkata, perkara itu sebelum ini turut beberapa kali dibangkitkan kepada pihak IPD Putrajaya dan berharap tindakan penguatkuasaan serta usaha kesedaran dapat diteruskan.
Sementara itu, seorang pengguna Threads turut meluahkan rasa lega selepas operasi berkenaan dilaksanakan.
“Patut malam tadi aman damai, tidur nyenyak tanpa bunyi rempit memekak. Tak sia-sia call IPD Putrajaya 3-4 pagi tiap-tiap hujung minggu, thanks and tahniah IPD Putrajaya,” katanya.
The post ‘Tidur nyenyak tanpa bunyi rempit’- 13 motosikal disita di Putrajaya appeared first on The Reporter.






