Nurul Syazwani umum letak jawatan Ketua Penerangan Srikandi Bersatu

LocalPolitics
10 Mar 2026 • 5:57 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Nurul Syazwani Noh

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Ahli Dewan Undangan Negeri Permatang, Nurul Syazwani Noh mengumumkan peletakan jawatan sebagai Ketua Penerangan Srikandi Bersatu berkuat kuasa serta-merta.

Menerusi kenyataan, beliau memaklumkan jawatan yang disandangnya merupakan jawatan lantikan di bawah kepimpinan Ketua Srikandi, Datuk Mas Ermieyati Samsudin.

"Susulan perkembangan terkini yang menyaksikan beliau digantung daripada jawatan tersebut, saya merasakan adalah lebih wajar dan berprinsip untuk saya juga melepaskan jawatan yang diamanahkan," katanya pada Selasa.

Menurut Nurul Syazwani, sebagai wakil rakyat wanita paling muda dalam parti beliau tidak dapat menyembunyikan rasa kecewa dan bimbang melihat keadaan yang sedang berlaku dalam Bersatu.

Tambahnya, parti sepatutnya menjadi wadah perjuangan bersama kini dilihat sedang melalui satu fasa yang sangat mencabar dari sudut kestabilan kepimpinan dan kesatuan dalaman.

"Perkembangan ini bukan sahaja memberi kesan kepada struktur kepimpinan Srikandi, malah turut memberi gambaran yang kurang meyakinkan kepada akar umbi serta rakyat yang memerhati perjalanan parti," katanya.

Nurul Syazwani berkata, lebih membimbangkan lagi apabila wakil rakyat yang dipilih dan diberikan mandat oleh rakyat turut dikenakan tindakan pemecatan serta penggantungan.

Jelasnya, keadaan ini memberi persepsi seolah-olah suara dan mandat rakyat tidak dihormati sepenuhnya, sedangkan setiap kerusi yang dimenangi adalah hasil kepercayaan serta perjuangan rakyat terhadap parti.

"Semua ini berlaku pada ketika pilihan raya semakin hampir, di saat parti sepatutnya memperkukuhkan saf perjuangan, menyatukan barisan kepimpinan serta mempersiapkan jentera dengan lebih tersusun dan berdisiplin," katanya.

Dalam pada itu, Nurul Syazwani berharap agar kepimpinan parti dapat menilai dengan penuh kebijaksanaan segala perkembangan yang sedang berlaku, demi memastikan Bersatu tidak kehilangan arah disaat rakyat sedang memerhati dan masa depan perjuangan sedang dipertaruhkan.

Terdahulu Bersatu menggantung keahlian Naib Presiden, Datuk Seri Ronald Kiandee dan Mas Ermieyati berkuat kuasa serta-merta.