
CINTA selalunya hadir tanpa diduga, begitu juga buat usahawan dan personaliti media sosial, Noor Nabila, yang kini menghitung hari untuk melangkah ke alam rumah tangga sekali lagi bersama jejaka pilihan hatinya, Ameer Aiman. Pertemuan tidak disangka di gimnasium sejak tahun lalu akhirnya memutikkan rasa baharu buat wanita berusia 41 tahun itu, sekali gus membuktikan bahawa kebahagiaan boleh hadir dalam ruang yang paling sederhana.
Khabar gembira tersebut pastinya memberi sinar kehangatan buat peminat yang sentiasa mendoakan kesejahteraannya.
Kakak kepada selebriti terkenal Noor Neelofa itu mengesahkan perancangan perkahwinan mereka kini berjalan lancar dan dijadualkan berlangsung pada penghujung tahun ini.
"Doakan saya, kami akan ke fasa seterusnya dalam masa terdekat. Kita sudah ada rancangan dalam tahun ini. Insya-ALLAH, semuanya dalam perancangan," ungkap Nabila.
Dia berkongsi berita gembira berkenaan ketika ditemui SinarPlus pada majlis pelancaran susu pisang Nilofa.

PERSIAPAN MAJLIS
Bagi ibu kepada seorang cahaya mata lelaki itu, beberapa urusan penting termasuk dokumentasi asas telah pun diselesaikan, manakala persiapan majlis sedang dirancang secara berperingkat.
Namun di sebalik keterujaan menuju hari bahagia, keikhlasan serta kematangan Ameer menjadi faktor utama yang memikat hatinya. Sifat lelaki tersebut yang telus dan tidak terlalu terpengaruh dengan latar belakang kehidupannya memberi keselesaan tersendiri buat Nabila.
"Dia seorang yang sangat ikhlas. Apa yang keluar dari mulut dia apabila saya tanya sesuatu, dia seorang yang matang. Bukan naif, tetapi transparent.
"Saya rasa susah juga nak jumpa orang yang macam ini sekarang. Kedua, dia tidak tahu sangat mengenai saya. Pada awal perkenalan, banyak perkara yang dia tidak tahu. Jadi saya rasa lebih selesa dengan orang yang kurang maklumat mengenai saya atau keluarga.
"Malah, Saya rasa lebih selesa macam itu, maksudnya ikhlaslah kalau dia suka dengan kita," luahnya sambil tersenyum.

AKRAB DENGAN JAYDEN
Selain ketulusan hati, faktor paling utama buat seorang ibu sudah tentu keakraban pasangan bersama anak tercinta. Nabila bersyukur apabila bakal suaminya itu dapat menyesuaikan diri dengan anak tunggalnya, Jebat Jayden, secara semula jadi tanpa sebarang paksaan.
"Jayden okey, dia ada hubungan yang baik dengan Ameer. Hubungan mereka boleh nampak secara natural, alhamdulillah.
"Apabila saya nampak dia boleh melayan Jayden, itu memang menarik," tambah Nabila lagi.
Mengimbau kembali saat awal menyemai kasih, rutin gaya hidup sihat mempertemukan mereka secara tidak sengaja

"Kami mula berkenalan sejak tahun lalu selepas bertemu di gimnasium. emudian saya dapat kenal dia dan dia ajak keluar. Dari situlah hubungan kami mula terjalin," katanya lagi.

