IPOH - Polis memohon bantuan orang ramai mengesan seorang wanita berusia 41 tahun yang dilaporkan hilang di Taiping sejak 16 Jun lepas.
Pemangku Ketua Polis Daerah Taiping Superintenden, Mohd Ariffridzuan Ezahar berkata, pihaknya menerima laporan berkaitan kehilangan Nor Afiza Zainuddin pada 11.22 pagi, pada 18 Jun.
"Nor Afiza kali terakhir dilihat keluar dari kediaman ibunya di Lorong Mewah 16, Taman Mewah, Kamunting pada 16 Jun dengan memandu kereta jenis Perodua Axia berwarna putih.
ARTIKEL BERKAITAN: Wanita hilang selepas keluar temu duga kerja
"Hasil siasatan awal mendapati pada hari itu, wanita berkenaan telah keluar rumah dengan alasan menghadiri sesi temu duga di sebuah hotel di Kuala Kangsar,” katanya dalam kenyataan.
**media[3561498]**
Beliau berkata, pada 21 Jun, polis menemukan Perodua Axia itu di tempat rekreasi Kampung Paya Lintang, Batu Hampar dekat Padang Rengas dan pemeriksaan lanjut mendapati kenderaan itu dalam keadaan baik berserta kunci kereta.
Beberapa barangan milik Nor Afiza turut dijumpai di dalam kereta itu seperti fail sijil, beg telekung dan kasut.
Mohd Ariffridzuan berkata, Nor Afiza memiliki dua anak, namun kedua-duanya tinggal bersama bekas suaminya.
Wanita itu katanya, berketinggian 155 sentimeter dengan berat 57 kilogram, selain warna kulit sawo matang dan memakai cermin mata.
Orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan Nor Afiza diminta tampil ke balai polis atau menghubungi Pegawai Penyiasat Insp Sanjay Shanmugam melalui talian 012-5039820 atau Ibu Pejabat Polis Daerah Taiping 05-8291222 untuk membantu siasatan.






