Nora Danish dedah kembali single, hubungan dengan Mickey Ayo berakhir -‘Bila tiada persefahaman, lebih baik…’

EntertainmentLifestyle
30 Apr 2026 • 12:53 PM MYT
SinarPlus
SinarPlus

SinarPlus is a portal based on News, Current Affairs and Lifestyle content

Image from: Nora Danish dedah kembali single, hubungan dengan Mickey Ayo berakhir -‘Bila tiada persefahaman, lebih baik…’

PELAKON jelita, Nora Danish kembali menjadi perhatian apabila mengesahkan hubungan yang sebelum ini dikatakan sedang mekar bersama seorang perunding kewangan, Mickey Ayo, kini sudah berakhir secara baik.

Bagi Nora, keputusan untuk tidak meneruskan fasa lebih serius itu dibuat dengan penuh matang tanpa sebarang pertelingkahan.

Sebaliknya, kedua-duanya memilih jalan damai dan kekal menghormati antara satu sama lain sebagai kenalan.

Sebelum ini, hubungan mereka sering menjadi bualan apabila beberapa kali dilihat bersama di acara tertentu, sekali gus mengundang spekulasi bahawa ada sesuatu yang lebih istimewa sedang terjalin.

Namun begitu, kisah tersebut akhirnya tidak berkembang seperti yang disangka ramai.

Menurut Nora, hubungan itu lebih kepada fasa perkenalan untuk mengenali hati budi masing-masing, sebelum sama-sama menyedari bahawa keserasian bukanlah sesuatu yang mudah untuk dipertahankan

Image from: Nora Danish dedah kembali single, hubungan dengan Mickey Ayo berakhir -‘Bila tiada persefahaman, lebih baik…’
.

“Dia bukan kekasih sebenarnya. Lebih kepada kawan yang dalam fasa mengenali hati budi.

“Cuma sampai di sini sahaja perjalanan kami. Kami ambil keputusan untuk ‘move forward’ dalam kehidupan masing-masing,” jelasnya dengan tenang.

Tambahnya lagi, kesibukan kerjaya serta perbezaan dalam beberapa aspek kehidupan turut menjadi antara faktor yang membawa kepada keputusan tersebut.

“Kami sepakat dengan keputusan ini kerana masing-masing sibuk. Bila tiada persefahaman dari pelbagai segi, lebih baik kami teruskan kehidupan masing-masing,” katanya lagi.

Nora berkongsi hal tersebut ketika ditemui pada majlis tayangan telefilem Poskad Cinta Dari Istanbul bagi aplikasi UTV, di The Exchange TRX, Kuala Lumpur.

Dalam masa sama, pelakon berusia 44 tahun itu turut menegaskan dirinya kini masih solo dan belum mempunyai sebarang pengganti.

“Belum ada lagi. Saya masih single, hati pun belum dimiliki sesiapa. Setakat ini, saya belum bertemu calon yang sesuai,” ujarnya jujur.

Hasil tinjauan di media sosial juga mendapati kedua-duanya sudah tidak lagi saling mengikuti antara satu sama lain, malah tiada lagi perkongsian foto bersama seperti sebelum ini.

Menjawab spekulasi yang mengaitkan perpisahan tersebut dengan kisah silam atau bekas suami, Nora menafikan sekeras-kerasnya dakwaan berkenaan.

Sebaliknya, beliau menegaskan hubungannya dengan bekas pasangan kekal harmoni demi anak-anak.

Image from: Nora Danish dedah kembali single, hubungan dengan Mickey Ayo berakhir -‘Bila tiada persefahaman, lebih baik…’

“Saya sangat selesa dengan hubungan sekarang bersama bekas suami. Kami bersahabat dan fokus utama adalah anak-anak,” katanya.

Untuk rekod, Nora pernah mendirikan rumah tangga bersama Datuk Rizal Ashram Ramli pada 2006 sebelum berpisah, dan hasil perkahwinan itu mereka dikurniakan seorang anak lelaki, Putra Rayqal.

Beliau kemudian berkahwin dengan Nedim Nazri pada 2017, namun perkahwinan itu juga tidak berpanjangan apabila mereka berpisah pada Jun 2024. Hasil perkahwinan tersebut, mereka dikurniakan seorang lagi cahaya mata lelaki, Mohamed Neqayl Nedim.

Walaupun melalui fasa kehidupan berbeza, Nora kini dilihat lebih tenang menjalani kehidupan sebagai ibu dan wanita yang terus memberi fokus kepada kerjaya serta keluarga, tanpa tergesa-gesa mencari pengganti.