Noraini: Industri sawit perlu ceburi peluang baharu dalam makanan haiwan, gentian dan tenaga

LocalBusiness & Finance
13 Oct 2026 • 3:30 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Noraini: Industri sawit perlu ceburi peluang baharu dalam makanan haiwan, gentian dan tenaga Image from: Noraini: Industri sawit perlu ceburi peluang baharu dalam makanan haiwan, gentian dan tenaga amree13/10/2026 - 15:30 NORAINI Ahmad ketika berucap pada Kongres Antarabangsa Minyak dan Lemak (OFIC) 2026 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur. Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 13 Okt — Industri sawit perlu melangkaui pengeluaran minyak untuk makanan dengan menceburi potensi sisa pemprosesan sebagai sumber makanan haiwan, bahan gentian industri dan tenaga boleh diperbaharui (RE), kata Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad.

 

Beliau berkata, penyelidikan dan inovasi memainkan peranan penting untuk mempelbagaikan kegunaan sawit, sekali gus meningkatkan nilai ekonomi tanaman komoditi tersebut menerusi usaha pembangunan aplikasi baharu dalam sektor makanan, dedak haiwan, gentian dan bahan api secara komersial.

 

Menurutnya, keupayaan sawit menghasilkan minyak yang tinggi daripada kawasan tanah yang relatif kecil merupakan antara kekuatan utama komoditi itu, namun manfaat tersebut perlu disokong menerusi aspek pengurusan tanah, air dan alam sekitar secara baik serta amalan penuaian lebih berkesan.

 

"Penyelidikan bahan tanaman, kesihatan tanah dan tumbuhan serta penggunaan peralatan penuaian yang lebih baik boleh membantu meningkatkan hasil dan mengurangkan kerugian," tegas Noraini ketika berucap pada Kongres Antarabangsa Minyak dan Lemak (OFIC) 2026 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.

 

Noraini_DagangNews2026
NORAINI Ahmad (tengah) bergambar pada Kongres Antarabangsa Minyak dan Lemak (OFIC) 2026 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.

 

Dalam sektor makanan, beliau berkata, penyelidikan lanjut terhadap minyak sawit, olein sawit dan nutrien terbitan sawit penting bagi meningkatkan pemahaman mengenai aspek pemakanan, selain turut membantu pengeluar untuk dapat membangunkan pelbagai produk yang memenuhi keperluan pengguna.

 

Di samping itu, beliau turut menekankan mengenai potensi kepelbagaian hasil sampingan daripada sawit dalam industri makanan haiwan, termasuk sebagai hampas isirung sawit, yang boleh digunakan semula sebagai bahan makanan ternakan dan memenuhi permintaan tinggi penternak di Malaysia.

 

Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) ujar Noraini, turut membangunkan sistem untuk mengurangkan kandungan tempurung dan gentian dalam isirung sawit sebelum pengekstrakan minyak bagi meningkatkan kualiti kek isirung sawit untuk dapat dimanfaatkan pula sebagai bahan makanan haiwan.

 

"Bagi sektor gentian pula, tandan kosong, gentian sawit, pelepah dan batang sawit berpotensi dijadikan sebagai panel, bahan komposit dan produk industri lain, tertakluk kepada bekalan bahan mentah yang konsisten, kualiti serta daya maju pengeluaran secara komersial," tambah beliau.

 

Noraini_DagangNews2026
NORAINI Ahmad (kiri) ketika meninjau pameran pada Kongres Antarabangsa Minyak dan Lemak (OFIC) 2026 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.

 

Jelasnya, industri juga mempunyai peluang untuk memanfaatkan biojisim bagi menjana stim dan elektrik, manakala efluen kilang kelapa sawit boleh dirawat untuk menangkap gas metana bagi penghasilan biogas, sekali gus membantu mengurus pelepasan sambil mendapatkan semula tenaga.

 

Bagaimanapun, Noraini menegaskan bahawa pengkomersialan inovasi memerlukan kerjasama rapat antara penyelidik dengan pemain industri bagi menguji teknologi dalam situasi sebenar, menilai kos, kebolehpercayaan dan permintaan pasaran serta memastikan ia dibangunkan praktikal untuk digunakan.

 

Penyelidikan juga perlu membantu pekebun dan pengusaha bagi memenuhi keperluan pengeluaran secara bertanggungjawab melalui pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO), dengan kemajuan dinilai berdasarkan peningkatan hasil, pengurangan kerugian, pemprosesan lebih cekap. - DagangNews.com

Terkini featured standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved