
KUALA LUMPUR: Tepat seperti diramal peminat, Ratu Etnik Kreatif, Noraniza Idris bakal menjadi salah seorang tetamu undangan Konsert Tradisional Gema Bumantara Datuk Seri Siti Nurhaliza, Oktober nanti.
Noraniza Idris atau mesra disapa kak Ani bakal memeriahkan konsert itu bersama artis yang lain iaitu Haziq Rosebi serta penyanyi Indonesia, Lesti Kejora dan King Nassar.
Menurut Biduanita Negara, Datuk Seri Siri Nurhaliza, dia bersyukur apabila Noraniza sudi penerima pelawaannya untuk sama-sama memeriahkan konsert itu nanti.
“Bagi saya untuk konsert ini, Noraniza harus ada bersama-sama dengan saya, maka saya mengundang kak Ani untuk bersama saya pada konsert ini.
“Saya juga bersyukur apabila beliau menerima pelawaan saya,”katanya.
Siti ditemui pada sidang media pengumuman artis jemputan untuk Konsert Tradisional Gema Bumantara di sini, pada Selasa.
Sebelum ini, kecoh di media sosial apabila peminat meluahkan hasrat untuk melihat gandingan Siti Nurhaliza dan Noraniza menyanyikan lagu hit mereka, Hati Kama bersama-sama.
Terharu dengan pelawaan Siti, Noraniza tidak mampu berkata-kata selain mengucapkan syukur atas kesempatan yang diberi.
“Sejujurnya, pertama kali pihak Siti hubungi saya, saya sudah sangat bersyukur hingga hari ini.
“Terima kasih Tokti dan warga kerja sangat yang sangat komited untuk konsert Gema Bumantara,” katanya.
Maklum mengenai perkara itu, Noraniza Idris sebelum ini tidak meletakkan sebarang harapan namun bertekad akan menyokong perjuangan Siti menyanyikan lagu-lagu irama Malaysia.
Untuk rekod, Siti dan Noraniza pernah berkolaborasi menerusi album Seri Balas yang diterbitkan pada tahun 1999 di bawah Suria Records.
Album terbitan Allahyarham Datuk Suhaimi Mohd Zain atau Pak Ngah itu turut melahirkan lagu malar segar, Hati Kama.
Konsert Tradisional Gema Bumantara dijadual berlangsung di TM Stadium Nasional Bukit Jalil pada 17 Oktober depan. -UTUSAN
The post Noraniza Idris syukur dilamar Siti jadi tetamu jemputan konsert Gema Bumantara appeared first on Utusan Malaysia.

![[VIDEO] ‘Saya cakap, konsert ini memang kena ada Noraniza Idris’](https://imgproxy.newswav.com/139x0,q50=/https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/08/photo-output-9-1024x577.jpeg)




