
PETALING JAYA – Seorang lelaki yang ditemukan meninggal dunia selepas kejadian bunuh di Desa ParkCity, di sini, meninggalkan nota yang menyatakan rasa kesal terhadap isterinya yang didakwa mempunyai hubungan dengan seorang scammer.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, suspek turut menyatakan dalam nota berkenaan bahawa dia menanggung kerugian dan hutang berjumlah kira-kira RM260,000.
“Si isteri dikatakan masih cuba menghubungi scammer tersebut dan suspek merasakan perbuatan itu sudah melampau selain berasa malu kepada anak-anak,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, bedah siasat terhadap mayat anak perempuan berusia sembilan tahun selesai dijalankan kira-kira pukul 12 tengah hari tadi.
Menurutnya, satu liang tikaman pada bahagian leher berukuran lima sentimeter ditemui pada mayat mangsa.
“Selepas solat Jumaat, bedah siasat kedua akan dijalankan ke atas mayat isteri.
“Dijangka hari ini akan dijalankan tiga bedah siasat sahaja, manakala bedah siasat ke atas mayat suspek dijangka diadakan esok selepas pasukan forensik Hospital Kuala Lumpur mengadakan lawatan ke tempat kejadian pagi esok,” katanya.
Tambah beliau, polis turut menemui sebilah pisau serta sepasang sarung tangan yang dipercayai digunakan sebagai senjata pembunuhan.
Kedua-dua barangan berkenaan ditemui di dalam sebuah laci di bilik tidur utama. – KOSMO! ONLINE
The post Nota bapa dedah kerugian, hutang RM260,000 akibat ‘love scammer’ appeared first on Kosmo Digital.





