Notari awam, kerani maut dalam kebakaran pejabat guaman

13 Apr 2026 • 4:18 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Notari awam, kerani maut dalam kebakaran pejabat guaman
Anggota bomba menurunkan mayat mangsa pertama dari tingkat satu bangunan yang terbakar dalam kejadian petang Isnin.
Image from: Notari awam, kerani maut dalam kebakaran pejabat guaman
Mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut sebelum dibawa ke hospital bagi proses bedah siasat.
Image from: Notari awam, kerani maut dalam kebakaran pejabat guaman
Anggota bomba giat memadamkan api dan menjalankan operasi menyelamat.

GEORGE TOWN – Seorang notari awam berpangkat Datuk dan kerani sebuah pejabat guaman maut selepas terperangkap dalam kebakaran di sebuah bangunan pejabat dua tingkat di Jalan Perak di sini pada Isnin.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, Mohamad Shoki Hamzah berkata, mangsa, Datuk San Markan Ganapathi, 88, ditemui di atas kerusi berhampiran meja pejabat di tepi tingkap manakala B Chandra, 60, ditemui dalam timbunan fail di tepi dinding bangunan berkenaan.

Menurutnya, San Markan yang merupakan bekas peguam terkenal dipercayai berada di pejabat guaman berkenaan bagi menguruskan beberapa urusan berkaitan dokumen guaman ketika kejadian berlaku.

"Mangsa dipercayai meninggal dunia akibat sesak nafas kerana terhidu asap tebal.

"Mangsa dijumpai pada jam 1.05 tengah hari," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian pada Isnin.

**media[3490282]**

Beliau berkata, operasi mencari dan menyelamat berjaya menemukan mangsa kedua pada jam 3.26 petang.

“Mayat mangsa wanita ditemui di bahagian tingkat atas berhampiran dinding, di bawah timbunan fail selepas lantai bangunan runtuh.

“Kedudukan kedua-dua mangsa tidak jauh antara satu sama lain,” katanya.

Menurutnya, bomba menerima panggilan kecemasan dan tiba di lokasi kira-kira jam 12.14 tengah hari dan ketika itu, api sedang marak dan bangunan berkenaan musnah hampir 70 peratus.

"Bangunan berkeluasan 20x20 kaki itu menempatkan pejabat guaman di kedua-dua tingkat namun ketika kejadian hanya pejabat di tingkat atas beroperasi manakala tingkat bawah ditutup," katanya.

Beliau menambah, operasi pemadaman dijalankan oleh jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Perak bersama bantuan beberapa pasukan lain.

“Ketika tiba di lokasi, anggota berdepan kesukaran berikutan struktur bangunan lama yang rapuh selain keadaan asap yang tebal serta kesesakan lalu lintas pada waktu puncak,” katanya.

**media[3490281]**

Menurut beliau, hasil maklumat saksi memaklumkan terdapat tiga individu berada di tingkat satu ketika kejadian, terdiri daripada seorang kerani, seorang lelaki bergelar Datuk dan seorang lagi pekerja.

"Mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut sebelum dibawa ke hospital bagi proses bedah siasat.

"Punca kebakaran masih dalam siasatan Unit Forensik JBPM," katanya.