Di acara pelancaran produk mereka di London, Nothing hari ini telah memperkenalkan siri peranti pintar terbaru mereka, Nothing 4(a) dan Nothing 4(a) Pro secara rasmi. Kedua-dua peranti pintar ini hadir sebagai peranti kelas pertengahan premium yang hadir dengan sejumlah ciri-ciri menarik yang sudah menjadi kebiasaan untuk jenama ini.

Bermula dengan Nothing 4(a) Pro, ia hadir dengan paparan skrin 6.83″ AMOLED dengan resolusi 1.5K dan kadar segar semula 144Hz yang memberi pengguna pengalaman menatal skrin yang cukup lancar sekali. Dengan nilai kecerahan setinggi 5000 nit, ia juga adalah paparan skrin paling cerah keluaran Nothing setakat ini, dan mampu mempertontonkan kandungan HDR tanpa masalah.

Peranti ini dikuasakan oleh cip pemprosesan Qualcomm Snapdragon 7 Gen 4 dengan memori LPDDR5X 12GB dan storan UFS 3.1 sebesar 256GB. Bahagian belakang peranti ini memperlihatkan modul kamera lensa yang terdiri daripada sensor Sony LYT700c untuk kamera utama dengan OIS terbina, kamera zum 3.5x 50MP dengan lensa telefoto periskop yang boleh zum sehingga 140x dan kamera ultra-lebar 32MP yang juga menggunakan sensor Sony.

Peranti Nothing 3(a) sebelum ini memperlihatkan ciri Glyph Bar yang merumahkan sebuah paparan matrix yang boleh digunakan untuk memaparkan pelbagai jenis notifikasi dan corak menarik. Pada Nothing 4(a) Pro, fungsi Glyph Matrix telah diperlihatkan yang kini merumahkan 137 mentol LED. Angka ini lebih kecil berbanding Glyph Bar sebelum ini, tetapi saiz bahagian Glyph Matrix tersebut adalah lebih besar, dan mempunyai nilai pencahayaan yang lebih tinggi. Fungsi Glyph Toys yang memperlihatkan pelbagai jenis notifikasi juga masih lagi disokong pada Glyph Matrix ini.
Dalam pada itu, Nothing 4(a) Pro juga hadir dengan bateri sebesar 5080mAH dan menyokong pengecasan Rapid Charging 50W untuk pengecasan pantas.
Beralih kepada Nothing 4(a) pula, peranti ini hadir dengan paparan skrin AMOLED yang sedikit lebih kecil, dengan saiz 6.78 inci dengan resolusi 1.5K yang sama dengan nilai kecerahan 4500 nit dan kadar segar semula 120Hz.

Ia dikuasakan oleh cip pemprosesan Qualcomm Snapdragon 7s Gen 4 dengan penawaran memori dan storan dan bateri yang sama. Kedua-dua peranti ini turut menggerakkan sistem operasi Nothing OS 4.1 yang berasaskan Android 16 yang terbaru, dan Nothing telah menjanjikan kemas kini versi sistem operasi selama 3 tahun dan kemas kini sekuriti selama 6 tahun.
Dari segi kamera pula, Nothing Phone 4(a) merumahkan kamera utama 50MP dengan sistem OIS terbina dan lensa telefoto periskop dengan kemampuan zum 3.5x, kamera utama 50MP juga dengan OIS terbina, kamera ultra-lebar menggunakan sensor Sony dan kamera swafoto ultra-lebar 32MP.

Untuk Nothing Phone 4(a), Glyph Bar akan kembali di bahagian belakang peranti menggunakan 63 mentol LED pada 7 zona pencahayaan secerah 3500 nit. Gimik ini dilihat cukup menarik kerana ia bukan sahaja boleh memperlihatkan pelbagai jenis notifikasi, tetapi juga boleh digunakan untuk menerangi kawasan berdekatan untuk fotografi bercahaya rendah. Rekaan belakang Nothing 4(a) juga masih memperlihatkan bahagian dalaman peranti.
Nothing 4(a) akan hadir dalam pilihan warna hitam, putih, biru dan merah jambu, manakala Nothing 4(a) Pro pula akan hadir dalam pilihan warna hitam, perak dan merah jambu. Nothing mengatakan bahawa butiran harga dan tarikh jualan siri peranti pintar Nothing 4(a) akan diumumkan pada 1 April ini.


