
Nothing Headphone (a) turut dilancarkan hari ini dengan ia adalah model lebih mampu milik berbanding Headphone (1). Yang menjadikannya menarik pastinya adalah pilihan warna lebih ceria tetapi masih mengekalkan rekaan ikonik Nothing serta ketahanan bateri yang amat baik.

Ia hadir dengan pemandu 40mm yang diperbuat daripada titanium dan bahan plastik untuk komponen utama seperti cawan telinga. Terdapat elemen lutsinar dan kemasan dalam warna hitam, putih, merah jambu dan kuning. Keseluruhan fon kepala adalah seberat 310g yang juga lebih ringan berbanding Headphone (1) seberat 329g. Headphone (a) melepasi piawaian kalis percikan air IP52.
Terdapat sistem ANC yang dikuasakan oleh empat mikrofon dengan tiga tahap kekuatan. Untuk yang kurang menggemari ANC ia boleh dimatikan serta terdapat mod tembus apabila diperlukan. Butang kawalan laras audio, ANC dan padel menlangkau muzik kesemuanya adalah dalam bentuk fizikal. Salah satu butang juga boleh diprogramkan untuk menjadi alat kawalan jauh kamera.

Bateri 1060 mAh memberikan pengalaman penggunaan sehingga 135 jam tanpa ANC dan 75 jam dengan ANC. Fon kepala menyokong codec popular ACC, SBC dan LDAC. Dalam mod LDAC, bateri beroperasi selama 90 jam tanpa ANC dan 62 jam dengan ANC. Jika anda mahukan sambungan fizikal, kabel 3.5mm boleh digunakan dengan ia disertakan dengan pembelian.
Harga jualan dan bila ia akan memasuki pasaran Malaysia belum diumumkan tetapi ini akan diumumkan pada 1 April depan.

