Pada awal bulan ini, Nothing telah melancarkan peranti mercu terbaru mereka, iaitu Nothing Phone (3) yang hadir dengan cip Snapdragon 8s Gen 4 dan dipadankan dengan skrin 6.67 inci AMOLED LTPO, 120Hz dan menyokong paparan HDR10+

Ia dilengkapi juga dengan memori sehingga 16GB RAM LPDDR5x, storan pula sehingga 512GB UFS 4.0 dan bateri pula sebesar 5150 mAh SiC dan hadir dengan sokongan untuk pengecasan pantas 65W dan nirwayar pada kuasa 15W.
Nothing Phone (3) juga dilihat menggunakan sistem tri-kamera yang terdiri daripada lensa sudut lebar 50MP, lensa ultra sudut lebar 50MP dan lensa telefoto 50MP. Di hadapan sekali lagi sensor 50MP digunakan pada kamera swafoto. Konfigurasi dan rekaan tri-kamera adalah jauh berbeza berbanding kamera yang digunakan pada 3a dan 3a Pro sebelum ini.

Ia juga menggunakan sistem operasi Nothing OS 3.5 yang berasaskan Android 15. Nothing akan memberikan kemas kini 5 versi Android dan 7 tahun tampalan sekuriti. Tubuh Phone (3) juga melepasi piawaian IP68 dan memperlihatkan sistem log masuk melalui sistem imbasan cap jari bawah skrin.

Dalam pada itu, Nothing juga dilihat memperkenalkan gimik menarik seperti biasa pada peranti ini. Kali ini, lampu Glyph yang digantikan dengan Glyph Matrix iaitu skrin bulat yang terdiri daripada 486 LED. Ia boleh memaparkan notifikasi, waktu, tahap bateri panggilan telefon, mempunyai beberapa permainan mini terbina yang dipanggil Glyph Toy. Butang khas berbentuk bulat untuk kawalan Glyph juga diletakkan di bahagian belakang.

Hari ini, Nothing telah mengumumkan bahawa pra-tempahan Nothing Phone (3) akan mula dibuka di kedai atas talian Shopee mereka pada 12 Julai 2025, dan akan dijual dalam dua konfigurasi spesifikasi dalaman:
- Nothing Phone (3) (12GB RAM, 256GB) – RM3299
- Nothing Phone (3) (16GB RAM, 512GB) – RM3799

Jualan terbuka Nothing Phone (3) akan bermula pada 1 Ogos 2025.

