Bersama-sama dengan pengumuman peranti pintar Nothing Phone (3), mereka juga telah memperkenalkan fon kepala pertama mereka, iaitu Nothing Headphone (1). Ia mengambil inspirasi daripada rekaan fon kepala 80an yang digabungkan dengan rekaan futuristik lut cahaya.

Fon kepala adalah dari jenis belakang tertutup dengan setiap cawan telinga dilengkapi pemandu audio 40mm dan sistem audio yang ditala oleh KEF. Butang kawalan kuasa, ANC, menyeru pembantu maya, melangkau muzik dan tambatan bluetooth kesemuanya diletakkan di cawan telinga kiri. Menariknya pada Headphone (1) ialah butang mengubah aras kelantangan audio mengesan tatalan jari.
Jika ditekan lama ia akan mengaktifkan ANC atau menghidupkan mod tembus. Suis seakan pedal pula digunakan untuk melangkau muzik dan jika ditekan lama akan mengubah kelajuan muzik dimainkan ke depan atau ke belakang. Implementasi Nothing adalah berbeza daripada fon kepala lain di pasaran. Malahan butang tambatan bluetooth tersorok di bahagian dalam cawan telinga kanan.

Cawan telinga berbentuk empat segi diperbuat daripada logam dengan permukaan luar diperbuat daripada plastik dengan elemen lutsinar. Pad telinga pula diperbuat daripada bahan span dan PU untuk keselesaan. Angkup kepala diperbuat daripada logam dan plastik dengan lengan boleh dilaras.
Headphone (1) boleh digunakan menerusi tambatan bluetooth, kabel 3.5 mm dan kabel USB-C. Sistem tambatan pantas Google Fast Pair dan Microsoft Swift Pair disertakan sekali. Codec yang disokong adalah SBC, AAC, dan LDAC. Pentsriman audio nirhilang boleh dinikmati menggunakan kabel USB-C. Selain itu fon kepala menyokong juga audio spatial serta penjejakan kepala ketika dipakai.

Bekas simpanan adalah berbentuk empat segi dan agak besar saiznya. Ini kerana seperti Sony XM5 dan Sonos Ace, fon kepala ini tidak boleh dilipat. Sebaliknya hanya lengan menyambungkan cawan telinga ke kepala sahaja boleh diputarkan 90 darjah supaya fon kepala boleh diletakkan rata di dalam bekas simpanan atau permukaan rata.
Bateri 1040 mAh boleh bertahan sehingga 80 jam jika digunakan tanpa ANC dan codec AAC. Ini berkurangan ke 35 jam jika ANC dihidupkan. Penstriman LDAC pula akan mengurangkan hayat penggunaan ke 30 jam sahaja dengan ANC. Menurut Nothing fon kepala boleh dicas semula dalam maasa 120 minit.

Sama seperti Nothing Phone (3), pra-tempahan Nothing Headphone (1) juga dibuka bermula 12 Julai 2025 melalui kedai atas-talian Shopee mereka, dan hadir dengan tanda harga RM1099. Jualan terbuka fon kepala ini juga akan bermula pada 1 Ogos 2025.
